PERKHIDMATAN aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dihentikan sementara berkuatkuasa hari ini atas tujuan keselamatan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, penggantungan sementara perkhidmatan kedua-dua aerotrain itu adalah disebabkan kekerapan berlakunya kerosakan.
“Kerosakan terbaharu membabitkan insiden jam 3 petang semalam sehingga menyebabkan 114 penumpang terkandas di dalam aerotrain di tengah landasan.
“Manakala tren kedua yang digerakkan untuk mengangkut penumpang terbabit juga mengalami kerosakan.
“Kami dengan penuh kekesalan mengumumkan penggantungan operasi aerotrain antara bangunan utama ke satelit berkuatkuasa hari ini atas sebab keselamatan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan mengenai pengoperasian semula sebelum penggantian aerotrain baharu dapat beroperasi menjelang 2025.
“MAHB akan mengambil kira semua kemungkinan termasuk memperbaiki aerotrain terbabit, selain operasi 18 bas pengantara terus beroperasi seperti biasa untuk memudahkan urusan pergerakan penumpang KLIA Terminal 1,” katanya.
Jelas Iskandar Mizal, buat masa ini, projek penggantian aerotrain berada dalam Fasa 1 iaitu reka bentuk yang memerlukan penukaran keseluruhan gerabak, landasan dan infrastruktur yang sesuai yang akan selesai akhir suku kedua tahun ini.
“Selepas itu, pembangunan akan bermula sebelum operasi aerotrain baharu beroperasi mulai 2025,” katanya.
Aerotrain KLIA Terminal 1 telah beroperasi sejak 25 tahun lalu dengan jarak perjalanan keseluruhan sekitar 2.8 juta kilometer dan mengendalikan kira-kira 300 juta penumpang. – Edisi 9

