SERAMAI tujuh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berlepas ke Turkiye dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk melaksanakan misi bantuan mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, misi berkenaan adalah bagi menyalurkan bantuan pasca gempa bumi dengan memfokuskan penyediaan rumah sederhana kekal daripada kontena, bantuan makanan serta pakaian untuk musim sejuk.
“Kita ada empat misi bantuan kemanusiaan secara keseluruhan dan ini adalah misi bantuan kedua untuk menyerahkan sebanyak lima buah rumah kontena di Turkiye dan sebuah kontena makanan ke Syria.
“Berdasarkan jadual, kami akan ke dua lokasi iaitu Gaziantep dan Hatay dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 Mac.
“Sebanyak RM350,000 diperuntukkan dalam misi bantuan ini hasil sumbangan daripada ahli Parlimen PN dan juga orang awam,” katanya hari ini.
Selain Tuan Ibrahim, ahli Parlimen lain yang turut menyertai misi bantuan itu temasuklah Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik); Datuk op (Pendang); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).
Kumpulan berkenaan turut disertai empat sukarelawan daripada PasRelief dan Sekretariat Aid 4 Turkiye-Syria dan kesemua mereka dijangka berlepas ke Turkiye dengan menaiki penerbangan pada pukul 11.50 malam.
Misi ini adalah yang kedua Sekretariat Aid4Turkiye&Syria setelah yang pertama pada 16 hingga 22 Februari lalu.
-EDISI9