KELAB gergasi Itali, Inter Milan menamatkan penantian selama 12 tahun untuk layak ke suku akhir Liga Juara Juara Eropah apabila menewaskan wakil Portugal, FC Porto 1-0 secara agregat awal pagi tadi.
Hanya berbekalkan kemenangan tipis 1-0 ketika perlawanan pertama di Giuseppe Meazza, aksi timbal balik pula menyaksikan skuad Nerazzuri dipaksa berpeluh sebelum seri tanpa jaringan di Estadio do Dragao.
Tidak banyak percubaan menarik dihasilkan namun nasib nyata tidak menyebelahi Porto apabila dua percubaan berturut-turut pada masa kecederaan di hujung perlawanan sekadar singgah di tiang gol Inter.
Pemain Porto, Pepe pula dibuang padang pada lewat permainan selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-92.
Keputusan ini menyaksikan kedua-dua wakil Milan, Inter dan AC layak ke suku akhir bersama sejak kali terakhir melakukannya pada musim 2005-06.
Pemain tengah Inter, Hakan Calhanoglu berkata, mereka terpaksa menempuh malam yang sukar di Porto namun disebabkan kerja keras sebagai satu pasukan, mereka mara ke suku akhir.
“Rasa sangat berbangga. Kami lakukan beberapa kesilapan tetapi (atasinya) dengan kerja keras dan ini sangat sukar.
“Segalanya boleh berlaku di Liga Juara Juara. Kami rasa sedih selepas tewas kepada Spezia (dalam aksi Serie A) namun kami bangkit di sini.
“Kami tidak jaringkan gol tetapi bekerja keras dan akhirnya layak ke fasa seterusnya,” kata Calhanoglu kepada Sky Italia hari ini. – Edisi 9