ERLING Haaland mempamerkan ketajaman penyudahnya apabila meledak lima gol termasuk hatrik di babak pertama bagi membawa Manchester City ke suku akhir Liga Juara Juara Eropah menewaskan RB Leipzig 7-0 awal pagi tadi.
Pesta jaringan City bermula apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-22 apabila bola tandukan Rodri terkena tangan pertahanan pelawat, Benjamin Henrichs.
Haaland yang ditugaskan mengambilkan sepakan penalti mudah merembat leret ke sebelah kanan penjaga gol untuk meletakkan City 2-1 di depan secara agregat selepas aksi pertama di Jerman dua minggu lalu berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Dua minit berselang menyaksikan Haaland meledak kedua peribadinya pada malam itu apabila menanduk masuk melantun daripada bola percubaan Kevin De Bruyne yang sebelum itu terkena palang gol.
Hatrik penyerang muda dari Norway itu terhasil pada masa kecederaan babak pertama apabila cubaan Amadou Haidara mengeluarkan bola dari atas garisan terkena kaki Haaland dan menerjah gawang pelawat untuk gol ketiga City.
Haaland meledak dua lagi gol di separuh masa kedua menjadikan rekod jaringannya musim ini kepada 39 gol sambil De Bruyne dan Ilkay Gundogan masing-masing menjaringkan satu gol untuk memastikan City ke suku akhir dengan agregat 8-1. – Edisi 9