31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jom Ziarah Gereja tak libat belia Islam – Hannah Yeoh

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PROGRAM Jom Ziarah Gereja yang merupakan projek syarikat Impact Malaysia tidak melibatkan individu beragama Islam, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau menjelaskan, program tersebut bukan bertujuan untuk memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.

Sebaliknya, kata beliau, ia bagi mengenali perbezaan yang ada dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan boleh hidup secara harmoni.

“Projek Jom Ziarah diusahakan oleh Impact Malaysia di bawah KBS adalah bukan menyamaratakan kedudukan mana-mana agama.

“Saya ulang, ini bukan projek untuk sama ratakan mana-mana agama, ia juga bukan dilakukan dengan niat memberi gambaran bahawa semua agama itu mempunyai taraf yang sama seperti anggapan beberapa pihak.

“Jom Ziarah adalah usaha untuk mengenali perbezaan agama yang ada dalam kalangan kita. Ianya adalah usaha kita melihat untuk membezakan supaya dengan cara itu masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa boleh hidup rukun damai dan lebih harmoni,” jelasnya dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Segambut itu menjelaskan, pelaksanaan program rumah ibadat bukan satu perkara yang baharu.

“Kementerian Perpaduan Negara juga pernah melakukan lawatan ke rumah ibadat yang melibatkan pelbagai penganut bagi mempromosikan persefahaman dan keharmonian di antara penganut agama yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Harmoni,” katanya.

Sejak semalam, tular di media sosial mengenai ‘ajakan’ kepada golongan Muslim untuk menziarahi gereja sehingga mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat, terutama mereka yang beragama Islam.

Antaranya, Pemuda UMNO yang mendesak agensi berkaitan Islam di Selangor supaya mengambil tindakan menghalang penganjuran program tersebut.

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, adalah menjadi kesalahan jika orang bukan Islam menyebarkan fahaman kepercayaan orang bukan Islam kepada orang Islam.

Katanya, perkara itu terkandung dalam seksyen-seksyen kesalahan jenayah dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor.

“Atas sebab ini saya mendesak sekeras-kerasnya agar pihak penganjur program lebih peka dan sensitif terhadap isu ini serta mengambil tindakan wajar untuk halang orang Islam untuk terlibat.

“Jika desakan ini tidak diendahkan, kami bukan sahaja tidak teragak-agak turun dan menghalang program ini dijalankan malah kami akan mengambil tindakan menyaman pihak penganjur dan pihak agensi berkaitan kerajaan kerana cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya. –

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan