SALAH seorang daripada suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan terhadap kumpulan muzik Indonesia, Radja ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).
Menurutnya, kertas siasatan kes berkenaan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini.
“Pihaknya menerima arahan supaya seorang suspek dituduh. Sekiranya disabit kesalahan, suspek berdepan dengan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai supaya tidak gusar dengan kejadian berkenaan.
“Siasatan yang telus tanpa kompromi dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Orang ramai juga diminta tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.
Kelmarin, polis mengesahkan menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kumpulan muzik Indonesia, Radja yang mendakwa dihambur kata-kata kesat serta diugut bunuh, dalam kejadian pada malam 11 Mac lalu.
Susulan itu, dua lelaki itu iaitu warga tempatan berusia 37 tahun dan warga asing berusia 48 tahun ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), semalam
-EDISI9

