31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Gaji penjawat awam: PM arah JPA bincang dengan Cuepacs

Cuepacs dimaklumkan perdana menteri sudah mempunyai perancangan dalam soal kadar gaji dan upah penjawat awam agar mereka mempunyai pendapatan boleh guna yang selesa.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneruskan perbincangan bersama Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai isu gaji dan upah penjawat awam serta hal berkaitan peningkatan kos sara hidup.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed ketika Cuepacs melakukan kunjungan hormat terhadap KPPA baharu itu pada Khamis, yang turut membincangkan banyak perkara mengenai perkhidmatan awam dan warganya.

Adnan berkata, Cuepacs dimaklumkan perdana menteri sudah mempunyai perancangan dalam soal kadar gaji dan upah penjawat awam agar mereka mempunyai pendapatan boleh guna yang selesa dan sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Permintaan penjawat awam untuk kerajaan menilai semula kadar gaji dan upah perkhidmatan awam sememangnya berasas berikutan kos sara hidup ketika ini meningkat dengan begitu drastik.

Advertisements

“Komitmen perdana menteri untuk melihat semula isu kadar gaji dan upah untuk perkhidmatan awam apabila kewangan negara bertambah baik kelak sesungguhnya memberi harapan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam,”katanya.

Dalam masa yang sama, Adnan berkata, Cuepacs yakin dengan gandingan kepimpinan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Zulkapli dalam membawa suara dan aspirasi penjawat awam untuk perhatian dan tindakan kerajaan.

Beliau berkata, keterbukaan KSN dan KPPA mendengar pandangan daripada Cuepacs mengenai permasalahan penjawat awam dalam setiap sesi libat urus amat dihargai.

“Cuepacs berharap KSN dan KPPA akan terus berunding dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk membantu menyelesaikan isu dan permasalahan penjawat awam terutama dalam hal melibatkan peningkatan kos sara hidup serta kadar gaji yang setimpal,” katanya. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan