25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Dakwaan nafi hak Kelantan anjur Sukma, KBS lapor polis

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SATU laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed mengenai isu penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam ciapan Twitternya berkata, pejabatnya (Kementerian Belia dan Sukan) telah membuat laporan itu susulan dakwaan Mohamad Kamal bahawa beliau telah menafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan.

Menurut beliau, dakwaan itu adalah satu fitnah kerana Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat telah bersetuju untuk negeri itu menganjurkan edisi 2028, yang memberikan masa tambahan bagi membuat persediaan dan pembinaan fasiliti sukan di Kelantan.

“Doakan untuk saya. Difitnah orang Bersatu semalam, hari ini Ketua Pemuda PAS Kelantan pula fitnah, pejabat saya telah membuat laporan polis,” katanya, hari ini.

Semalam, sebuah media tempatan melaporkan bahawa Mohamad Kamal mendakwa Hannah menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk menafikan hak Kelantan menganjurkan Sukma 2024.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi berkata, keputusan Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2028 adalah hasil perbincangan antara pihaknya bersama wakil negeri Wan Roslan, yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

“Kenyataan sebegitu sangat tidak bertanggungjawab kerana ia menyimpang daripada hakikat dan iltizam Jawatankuasa Tertinggi Sukma bagi memastikan semua negeri berpeluang menjadi tuan rumah Sukma. Kelantan satu-satunya negeri yang belum pernah menganjurkan Sukma.

“Keputusan supaya Kelantan menjadi tuan rumah Sukma 2028 adalah demi memberikan masa tambahan kepada kerajaan negeri menyiapkan infrastruktur sukan bagi penganjuran temasya sukat itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Shapawi turut menzahirkan penghargaan kepada Sarawak yang bersedia menganjurkan Sukma 2024, ekoran keputusan Johor sebelum ini memulangkan hak tuan rumah temasya itu kepada MSN.

Advertisements

Johor sepatutnya menganjurkan edisi 2020, namun penganjuran itu dibatalkan kerana pandemik Covid-19 dan negeri itu dipilih untuk menganjurkan edisi 2024, diikuti edisi 2026 di Kelantan, manakala MSN menganjurkan edisi 2022 di Lembah Klang pada September lepas.

Namun, keputusan terbaharu Jawatankuasa Tertinggi Sukma menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah edisi 2024, MSN menganjurkan edisi 2026 dan diikuti Kelantan pada 2028.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan