27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Perkampungan haram di Klang diserbu, 61 PATI ditahan

Operasi berkenaan dilakukan hasil risikan yang dilakukan dan mendapati perkampungan berkenaan wujud sejak enam tahun lepas.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LAGI perkampungan haram pendatang tanpa izin di serbu!!!

Kali ini Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 61 pendatang tanpa izin dalam satu operasi di sebuah perkampungan haram di kawasan ladang kelapa sawit di Taman Perindustrian Air Hitam Klang, malam tadi.

Dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 11.30 malam itu, pihak penguatkuasa telah menahan seramai 32 lelaki dan 29 perempuan warga Indonesia termasuk 18 kanak-kanak dan bayi berusia enam bulan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi berkenaan dilakukan hasil risikan yang dilakukan dan mendapati perkampungan berkenaan wujud sejak enam tahun lepas.

“Perkampungan berkenaan menempatkan sebanyak 30 hingga 40 rumah yang dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air.

“Warga asing ini dipercayai menggunakan bekalan elektrik dan air curi serta tandas yang mereka bina juga terus disalurkan ke dalam sungai. Keadaan kawasan petempatan di situ sangat kotor dan tidak layak untuk didiami, saya khuathir ia akan memberi ancaman kesihatan.

“Saya juga sempat melihat cara kehidupan mereka di sini, ada yang bercucuk tanam seperti cili, ubi dan pisang serta memelihara ayam kampung bagi menyara kehidupan. Kebanyakan warga asing ini bekerja sebagai tukang cuci di kawasan sekitar,” katanya selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sini.

Advertisements

Beliau berkata, ketika serbuan, lebih 30 penghuni dipercayai berjaya meloloskan diri dengan menyusuri muara sungai berdekatan.

Khairul Dzaimee berkata, serbuan itu dilakukan berdasarkan aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa terdapat petempatan tersorok didiami warga asing di dalam kawasan ladang kelapa sawit.

“Hasil aduan, anggota saya menyamar dan menggunakan dron bagi melihat keseluruhan kawasan ini. Kami mendapati terdapat sebuah petempatan asing di sini,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan semakan pihaknya, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tujuh daripada mereka memiliki Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang dikeluarkan Kedutaan Indonesia untuk pulang ke negera mereka semasa musim pandemik COVID-19.

“Kesemua mereka masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, operasi itu melibatkan 195 anggota imigresen serta 10 pegawai Jabatan Pendaftaran dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan