YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke sesi menghadap perpisahan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Istana Negara.
Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook berkata, Seri Paduka selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa serta khidmat bakti Tan Sri Zamrose setelah 43 tahun berkhidmat bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan penuh dedikasi dan cemerlang.
“Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat Ke-29 nanti akan menyaksikan penukaran tampuk pemerintahan TDM yang baharu pada 22 Mac 2023,” katanya hari ini.
Tan Sri Zamrose mula berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 25 April 1980.
Beliau menyandang pelbagai jawatan penting dalam TDM termasuk Panglima Medan Timur sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-28 pada 11 Jun 2020.
-EDISI9

