PERIKATAN Nasional (PN) akan bangkit melawan dendam politik Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dengan kekuatan serta ukhuwah yang lebih padu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu hantaran di Facebook menzahirkan keyakinan tersebut.
“Langkah kerajaan campuran PH-BN cuba menekan PN dengan melakukan siri pendakwaan politik tidak akan sesekali melemahkan parti itu,” katanya, hari ini.
Hari ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin dengan dua penjamin selain memerintahkan bekas perdana menteri itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Azura turut menetapkan 26 Mei untuk sebutan semula kes.
-EDISI9