31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Peruntukan ahli Parlimen dipotong: Alexander terkilan tapi akur

Sebagai anggota Menteri Kabinet, beliau akur dengan keputusan tersebut dan berharap dapat dipertingkatkan semula.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sedikit terkilan dengan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memotong peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen daripada RM3.8 juta sebelum ini kepada hanya RM1.3 juta.

Ini kerana menurut beliau, peruntukan baharu yang diumumkan Perdana Menteri tidak mencukupi bagi menampung pembangunan segera yang diperlukan rakyat di kawasan beliau, lebih-lebih bagi ahli Parlimen Sarawak.

Bagaimanapun, sebagai anggota Menteri Kabinet, beliau akur dengan keputusan tersebut dan berharap dapat dipertingkatkan semula.

“Meskipun saya merasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan oleh Kerajaan dari masa ke semasa.

“Ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan rakyat dapat dibantu dengan sebaiknya selari dengan hasrat Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Alexander yang juga Menteri Kerja Raya berkata, beliau amat memahami dasar tindakan tersebut yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara.

Namun, katanya, keputusan itu agak mengejutkan, mengambil kira keperluan penduduk dan kawasan yang pelbagai terutamanya bagi kawasan pedalaman.

Jelas beliau, sebagai ahli Parlimen Kapit, kawasan yang berada jauh di pedalaman dengan cabaran geografi dan luas kawasan menyamai keluasan Negeri Pahang di Semenanjung Malaysia, tentulah peruntukan ini tidak mencukupi.

Katanya, ini akan memberi cabaran yang lebih besar kepada beliau dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan yang amat diperlukan oleh rakyat.

“Peruntukan sebelum ini banyak membantu ahli Parlimen untuk membantu penduduk secara lebih efisien dengan bantuan dapat disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah dan jabatan kerajaan.

“Peruntukan ini yang disalurkan ke Pusat Khidmat juga menjadi ‘one-stop centre’ (pusat sehenti) bagi disalurkan kepada penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera,” katanya.

Tambah beliau, peruntukan tersebut tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, tetapi juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar.

Bahkan, katanya, bukan sahaja golongan B40 dan ke bawah, malah golongan M40 yang turut terjejas akibat kelembapan ekonomi dan bergantung kepada bantuan daripada wakil rakyat juga dapat dibantu melalui peruntukan ini.

“Tentunya pengurangan kadar peruntukan ini akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan Kerajaan yang dapat disalurkan oleh wakil rakyat dan atas dasar itu, Kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani kekangan ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan