36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pasukan Peninjau Khas Malaysia tiba di Damsyik dari Beirut

Lawatan itu bagi mencari gambaran sebenar dan membuat penilaian di lapangan mengenai bentuk bantuan diperlukan mangsa gempa di Syria

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PASUKAN Peninjau Khas Malaysia selamat tiba di ibu kota Syria, Damsyik setelah menempuh perjalanan lebih dua jam dari ibu negara Lubnan, Beirut malam tadi.

Menurut kenyataan Wisma Putra, pasukan berkenaan dilaporkan memasuki bandar raya tapak warisan dunia UNESCO itu kira-kira pukul 4 petang (10 malam waktu Malaysia).

Ketibaan pasukan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Norman Muhamad itu disambut Duta Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob.

“Lawatan itu penting bagi mencari gambaran sebenar dan membuat penilaian di lapangan mengenai apa bentuk bantuan diperlukan mangsa gempa di Syria,” jelas Wisma Putra.

Kumpulan peninjau awal disertai seramai 20 anggota pelbagai agensi itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 11.30 malam kelmarin.

Mereka terdiri daripada wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), tentera, polis, Kementerian Kesihatan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Mercy Malaysia.

“Pasukan ini akan membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa di Syria selain mengenal pasti laluan yang selamat bagi misi penghantaran bantuan,” kata Wisma Putra.

Tugasan pasukan itu disebabkan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik ditutup sementara ekoran konflik pada 2012 lalu dan menyukarkan usaha awal bantuan kepada pihak Syria.

Pada 6 Februari lalu, gempa bumi kuat melanda tenggara Turkiye dan negara jiran Syria, memusnahkan bandar dan mengorbankan serta mencederakan puluhan ribu orang.

Gempa itu memusnahkan seluruh bahagian bandar utama di Turkiye dan Syria yang dilanda perang saudara yang mengakibatkan jutaan melarikan diri dari negara itu ke wilayah lain untuk mendapatkan perlindungan.

Dianggarkan lebih 5,000 terkorban dalam kejadian itu di Syria manakala lebih 30,000 lagi di Turkiye setakat ini. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan