32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pelajar sekolah, OKU tidak perlu lagi bayar tambang komuter

Perkhidmatan percuma yang diperkenalkan menerusi inisiatif MyRailLife itu boleh digunakan tanpa had

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MURID tahun satu hingga pelajar tingkatan enam dan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak lagi perlu membayar tambang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bermula semalam.

Perkhidmatan percuma yang diperkenalkan menerusi inisiatif MyRailLife itu boleh digunakan tanpa had bagi perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang, Utara dan Perkhidmatan Shuttle Timuran.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, selain memanfaatkan pelajar sekolah dan OKU, pas percuma itu dapat meringankan beban kewangan ibu bapa selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengawal kos sara hidup.

“Perkara ini saya umumkan pada 20 Januari lalu di mana bagi pihak kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif khusus untuk meringankan beban perbelanjaan pengangkutan kepada semua pelajar sekolah dan kepada golongan OKU untuk terus menikmati pengangkutan awam khususnya perkhidmatan tren yang disediakan oleh KTMB secara percuma.

“Contohnya, jika sebelum ini seorang OKU yang menetap di Alor Setar dan bekerja di Butterworth menaiki perkhidmatan komuter pergi dan balik dari Stesen Alor Setar ke Butterworth, perlu membelanjakan tambang perjalanan RM7.20 sehari.

“Di mana beliau perlu memperuntukkan RM180 sebulan untuk kos pengangkutan. Kini, tidak lagi,” katanya pada sidang media Pelancaran Pas MyRailLife di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, bagi KTM Komuter sektor Lembah Klang, ia terdiri daripada laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang dan laluan Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang.

Sementara, bagi perkhidmatan Komuter sektor tara laluan Padang Rengas – Butterworth – Padang Rengas dan laluan Butterworth – Padang Besar – Butterworth. Perkhidmatan tren KTM Shuttle Timuran (DMU) ialah bagi sektor laluan Gemas – Tumpat – Gemas.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan amat komited terhadap agenda kerajaan untuk mengawal kos sara hidup.

“Diharapkan langkah ini bukan saja dapat memanfaatkan pelajar sekolah dan OKU tetapi juga meringankan beban kewangan ibu bapa yang menampung kos pengangkutan anak-anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, pas MyRailLife itu sah digunakan antara stesen mula dan stesen destinasi yang dicatatkan dan boleh digunakan tanpa had dalam tempoh sahguna itu.

“Bagi menikmati faedah ini, pengguna yang layak perlu mendaftar dengan KTMB untuk mendapatkan nombor Passenger Name Record atau PNR terlebih dulu. Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi KITS (KTMB Mobile) atau melayari laman sesawang KTM.

“Pas hanya boleh digunakan oleh penumpang yang namanya dicatatkan dan tidak boleh dipindah milik,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan