31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Muhyiddin nafi terlibat beri kontrak kepada syarikat menantu

Tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah beliau dan keluarganya.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan konon beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad (IRIS) yang dikaitkan dengan menantunya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah beliau dan keluarganya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS yang dijalanjan secara terbuka.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga.

“Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Muhyiddin menjelaskan proses perolehan kontrak tersebut dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan.

Tegas Presiden Bersatu itu, proses tersebut bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Advertisements

“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?

“Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN pimpinan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” kata beliau.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau percaya tohmahan tersebut sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan.

“Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” tegasnya.

Jun lalu, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, pelaksanaan NIISe dengan kos RM1 bilion diyakini mampu mempertingkatkan sistem imigresen negara ke tahap yang lebih baik.

Beliau berkata, kontrak NIISe di antara kerajaan dengan IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd dimuktamadkan pada Mei 2022, membabitkan lebih 12 kontraktor.

Mengikut tempoh kontrak, NIISe akan beroperasi sepenuhnya pada 2024. Sistem itu dilaksanakan bagi menggantikan sistem myIMMs di Jabatan Imigresen yang sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan