DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tiga tindakan penutupan (sealed) serta-merta dan sita peralatan ke atas premis hiburan dalam operasi yang dijalankan sekitar Cheras dan Bukit Bintang malam semalam.
Operasi yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKL itu telah menyerbu enam premis menerusi Tindakan Khas Premis Berisiko (Kelab/Premis Hiburan) Siri 4/2023.
DBKL menerusi kenyataan berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat yang diterima dibeberapa lokasi premis tumpuan (hotspot).
“Tumpuan risikan adalah tertumpu pada premis yang menjalankan aktiviti restoran, pub, kelab malam dan pusat hiburan melanggar syarat lesen.
“Hasil risikan berkenaan, DBKL telah membuat tindakan khas dengan menyerbu enam buah premis dan mengenakan tiga tindakan penutupan (sealed) serta-merta dan sita peralatan.
“Tindakan akan dikenakan di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 termasuk membuka 3 kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (Live Band / DJ) tanpa kebenaran ) Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993,” menurut DBKL.
DBKL berkata, pihaknya turut mengenakan tindakan sita terhadap 16 pelbagai peralatan muzik ke atas tiga buah premis berkenaan.
“Ia melibatkan tablet, spinner, mic stand, speaker, mixer, mic controller dan sound controller dan lain-lain barangan.
“Kesemua peralatan muzik telah di hantar ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja Kuala Lumpur untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis,” katanya.
Ujar DBKL, tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut kawasan tumpuan parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Operasi berkenaan yang bermula 9 malam berakhir pada jam 2 pagi tadi. – Edisi 9