27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Hospital Medan ATM di Turkiye mula beroperasi Rabu ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

HOSPITAL Medan Malaysia (HMM) dijangka siap didirikan pada Selasa ini sebelum dapat memulakan khidmat operasi peringkat pertama untuk pesakit luar dan seterusnya operasi peringkat kedua termasuk melakukan pembedahan seawalnya pada Rabu ini.

HMM akan ditempatkan di Celikhan, Adiyaman iaitu 152 kilometer dari Gaziantep, iaitu kawasan paling terjejas.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom berkata, Angkatan Tentera Malaysia telah menghantar kumpulan terakhir pasukan perubatannya bagi mengendalikan operasi HMM di Turkiye.

Menurutnya,  mereka yang berlepas adalah kumpulan ketiga yang akan menyertai Operasi Starlight II (Op Starlight II) diketuai Pegawai Memerintah HMM, Kolonel Dr Yussra Yusoff, membabitkan 41 anggota terdiri daripada 16 pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat.

“Kumpulan bersama 16 doktor dan lain-lain kakitangan perubatan diterbangkan dengan penerbangan Turkish Airlines pada pukul 11.00 malam ini (semalam).

“Kita sedia maklum, kumpulan pertama membabitkan 36 pegawai dan anggota diatur gerak dengan dua buah pesawat A400M TUDM dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 2 pagi kelmarin dan selamat tiba di Lapangan Terbang Gaziantep pada pukul 1.30 pagi (waktu Malaysia).

“Kumpulan kedua pula berlepas pada pukul 11 malam, membabitkan 34 anggota dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 10.44 pagi (waktu Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan penghantaran kumpulan terakhir pasukan Op Starlight II di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Advertisements

Turut hadir, Duta Besar Turki di Malaysia, Emir Salim Yüksel; Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar (KLN), Datuk Zahairi Baharim dan Timbalan Ketua Protokol KLN, Muhammad Radzi Jamauddin.

Noor Mohamad Akmar berkata, kumpulan kedua akan menunggu ketibaan kumpulan ketiga dan akan bersama-sama menaiki pesawat A400M TUDM ke Lapangan Terbang Gaziantep dan seterusnya melalui jalan darat ke lokasi HMM akan ditempatkan di Adiyaman.

“Kumpulan pertama pula dijangkakan akan sampai ke Adiyaman dalam tempoh tiga atau empat jam lagi iaitu tempat HMM akan didirikan.

“Proses perjalanan agak bagus walaupun ada beberapa masalah seperti keadaan jalan yang retak dan sebagainya selain cuaca yang sejuk mencecah -15 darjah selsius.

“Kita berharap dan berdoa kesemua mereka sampai sampai dan dapat meneruskan usaha kita dalam Op Starlight II ini. Pasukan ketiga ini dijangka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 6.30 pagi (waktu tempatan),” katanya.

Menurut beliau, kumpulan ketiga ini membawa bersama logistik perubatan membabitkan 7.3 tan aset hospital medan yang akan diterbangkan menggunakan pesawat Mas Kargo.

Pasukan diketuai Pemerintah Op Starlight II, Brigedier Jeneral Datul Dr Amran Amir Hamzah bersama 106 pegawai dan anggota akan melaksanakan misi yang di jangkakan selama enam minggu namun akan dilanjutkan sekiranya perlu.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan