29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Agong harap Anwar PM terakhir sebelum ‘pulang’ ke Pahang

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri terakhir sebelum baginda menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada Januari tahun depan.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri bersama empat jemaah menteri berlainan.

“Beta telah bersemayam di atas taktha singgahsana kerajaan Malaysia bermula 31 Januari 2019. Sehingga hari ini Beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

“Beta berharap Perdana Menteri Ke-10 adalah yang terakhir buat Beta sebelum Beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur. Namun ini semuanya adalah ketentuan Allah S.W.T. Manusia merancang Allah menentukan segalanya.

“Masa berlalu begitu pantas sekali, sepantas awan yang berarak pergi. Pada 30 Januari 2024, Beta akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16,” titah baginda semasa menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun boleh dielakkan jika ahli politik negara bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu padu atas dasar menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Pada pengamatan Beta, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian
kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga akan dapat dielakkan.

Mengimbas kembali, titah Baginda, setelah selesai PRU15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung.

“Makanya, sekali lagi amanah berat untuk memilih dan melantik seorang Perdana Menteri terpaksa digalas oleh Beta. Betapa berat mata yang memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul.

“Dalam situasi Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, bila mana tiada parti politik atau gabungan dominan yang telah memperolehi majoriti mudah, Perlembagaan Persekutuan menuntut Beta untuk melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta telah memperolehi kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, Beta telah membuka seluas-luasnya ruang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan demi untuk masa hadapan negara,” titah Baginda.

Titah Baginda lagi, pada usia negara 66 tahun sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh.

“Jika kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, Beta merasa khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya,” titah Baginda. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan