24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Malaysia Madani: Antara harapan dan keberanian bertindak

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9
Oleh ZAIRUDIN HASHIM

MENURUT Ketua Biro Dakwah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ustaz Mohammad Syafiq Ismail, madani berasal daripada istilah Arab, ‘Madinah’ yang bermaksud kota atau bandar yang teratur dan bersistem, yang memungkinkan kemajuan dan keamanan berlaku.

Jika hilang kemajuan dan keamanan, ia dinamakan qaryah atau quro. Tempat itu menjadi tempat berkumpul sahaja.

Sejelasnya, kestabilan ekonomi dan sekuriti memungkinkan sektor-sektor manusiawi yang lain seperti keilmuan, kebudayaan, kesihatan dan sebagainya dijamin.

Konsep madani turut dikupas oleh para ilmuwan agung seperti Al-Farabi, Ibn Khaldun dan Ibn Miskawayh.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula mencatatkan madani sebagai membawa maksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.

Sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 September 1995 mula mengemukakan istilah masyarakat madani ketika menyampaikan pidato sewaktu Simposium Nasional dalam rangka Forum Ilmiah Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia.

Beliau menyebutkan “…Yang kita maksudkan dengan masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan di antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat.”

Konsep itu kemudiannya dikembangkan lagi oleh deretan cendekiawan ulung dalam Konvensyen Masyarakat Madani di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 19 hingga 21 September 1996 dan turut dikupas secara mendalam menerusi karya Anwar sendiri, “The Asian Renaissance”.

Antara yang membentangkan kertas kerja dalam program tersebut adalah Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al Attas, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil (Allahyarham), Prof Datuk Dr Osman Bakar, Prof Dr Nik Safiah Nik Karim, Prof Dr Mohammad Kamal Hassan, dan Dr Muhammad Ali Hashim.

Sejelasnya, idealisme masyarakat madani yang diperjuangkan Anwar telah mula subur sejak beliau bersama rakan-rakan sekolahnya di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) melalui gerakan Badan Revolusi Ugama (BRU) dan Kelab MaraMunJangan (Mara Ke Hadapan Mundur Jangan).

Selain mengkaji nilai-nilai indah manusiawi dalam Islam, Anwar dan rakan-rakannya seperti Tan Sri Sanusi Junid Allahyarham), Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman dan Tan Sri Yahya Ahmad (Allahyarham) yang ketika itu masih di bangku sekolah menengah, sudah mula menekankan aspek-aspek dalam gagasan madani.

THE ANGRY GENERATION

Selain memberikan tuisyen secara percuma kepada anak-anak kampung sewaktu musim cuti persekolahan, mereka turut gigih menubuhkan tabung kewangan bagi membantu pelajar MCKK dan kawasan sekitar yang kesempitan wang atau tidak mampu membeli tiket untuk pulang ke kampung.

Ia kemudiannya dikembangkan lagi apabila Anwar dan rakan-rakannya memimpin arus kebangkitan mahasiswa dan anak muda menerusi ABIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Ketokohan anak-anak muda ABIM yang terkenal dengan gelaran The Angry Generation ketika itu seperti Anwar, Dr. Siddiq Fadzil, Fadzil Noor, Ni’amat Yusoff, Dr. Razali Nawawi dan lain-lain memberikan impak besar kepada masyarakat.

Daripada mengasaskan Yayasan Anda Akademik (YAA) sehinggalah ditahan dan dipenjarakan selama hampir dua tahun kerana terlibat dalam Demonstrasi Baling 1974, perjuangan Anwar untuk membela nasib golongan miskin dan terpinggir adalah konsisten dan teguh.

Pada 19 Januari 2023, Anwar, kali ini selaku Perdana Menteri telah mengumumkan Malaysia Madani sebagai kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai negara makmur dan dihormati.

Bertemakan Membangun Malaysia Madani, konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu terletak pada enam tonggak utama iaitu Ke(M)ampanan; Kesej(A)hteraan; (D)aya cipta; Horm(A)t; Keyaki(N)an; dan (I)hsan.

Kata kunci visi ini adalah MADANI, yang pada asasnya merupakan kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat atas dasar ketelusan dan kerjasama.

Enam tonggak ini bakal memeta hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

Ketika menyampaikan amanatnya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Anwar berkata, tema Madani akan kekal relevan dan mampu menyelamatkan negara, kerana menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyatnya berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.

Menurut Jabatan Perdana Menteri, amanat Anwar tersebut adalah berpaksikan latar pengalamannya dalam keprihatinan dan perjuangan rakyat bermula daripada gerakan pelajar, aktivis sosial, ahli politik, mengepalai beberapa kementerian dalam kerajaan, menjadi pendidik di beberapa universiti berprestij dunia sehinggalah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

ORANG ramai yang hadir bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka , Kuala Lumpur pagi tadi. Foto: MOHD NAIM AZIZ / EDISI 9
Gagasan Malaysia Madani diharap dapat menyelesaikan permasalahan berkaitan rakyat dan negara.

Agenda dasar kerangka MADANI memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.

Advertisements

Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan sosio-budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.

Idea besar seperti MADANI ini bukan milik seorang Anwar – ia adalah milik semua dan dinukil serta dikupas oleh ramai ilmuwan.

Beliau sendiri tidak pernah mendakwa bahawa beliau adalah pengasas atau pemilik kepada konsep madani tersebut.

Justeru, tidak wujud keperluan untuk berdebat isu pemilikan idea, sebaliknya apa yang penting adalah kita berkongsi manfaatnya untuk masyarakat.

Elakkan perdebatan yang tidak perlu, berikan penumpuan kepada perkara yang lebih utama. Kita mesti berganding bahu untuk menyatukan tenaga dan sumber – bagi membangunkan sebuah negara madani.

Daripada sibuk berbahas tentang isu pemilikan idea, lebih molek untuk kita berbincang bagaimana untuk merakyatkan naratif Malaysia Madani agar rakyat terbanyak dapat berperan serta untuk membina semula negara ke arah yang lebih baik.

Hal ini boleh dirancakkan melalui wacana-wacana, forum dan diskusi agar lebih merakyat dan membumi sifatnya.

Tidak wujud keperluan untuk mempertikai milik siapa gagasan ini, malah ia mesti dimanfaatkan untuk negara dan rakyat. Apa yang penting ialah ia diangkat ke platform arus perdana dan direalisasikan.

Usaha Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan ini patut disokong pada setiap peringkat.

Penumpuan yang sepatutnya diberikan adalah bagaimana untuk membawa manfaatnya kepada rakyat.

Gagasan Malaysia Madani perlu bersifat manusiawi, memandangkan inilah tuntutan yang selari dengan gagasan yang diperjuangkan Islam sendiri iaitu kemanusiaan.

Malaysia Madani bukanlah satu gagasan kerdil. Ia melibatkan kerangka khazanah ilmu dan minda umat, memandangkan ia melibatkan peninggalan ilmuwan dan pemikir besar.

Dalam dasar Malaysia Madani, matlamat yang ingin dicapai ialah sebuah masyarakat yang maju, terampil dan terangkum. Untuk itu, kerangka dasar baharu negara itu hendaklah diterjemah dalam bentuk realiti secara praktikal melalui pelaksanaan dan tekad politik yang sebenar.

Akhirnya, soal Madani ini bukan hanya soal istilah atau wacana kosong. Sebaliknya, ia adalah tentang perlaksanaan kata-kata.

Keberanian bertindak, adalah tentang melakukan dan melaksanakan, bukan sekadar retorika yang muluk-muluk.

Perlaksanaan Madani itu perlu menyeluruh dan dirasai oleh masyarakat terbanyak, daripada gologan miskin bandar sehingga ke ceruk pedalaman.

Ini kerana apa juga warna kulit atau kasut yang kita sarung, selagimana kita adalah manusia yang duduk di sebuah tanah air bernama Malaysia tercinta; maka kita berhak untuk memahami dan merasai kesan dan manfaat Madani itu.

Apa pun, rakyat akan terus memerhati dan menilai akan keberkesanannya nanti. Kritiklah mana yang kurang, dan sebarkanlah mana-mana polisi yang bermanfaat.

Buat Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau, mara ke hadapan mundur jangan.

Malaysia bergerak menjadi Masyarakat Madani. Jalan terus.

Memetik “Puisi Diponegoro” nukilan Chairil Anwar mengenai seorang patriot bernama Pangeran Diponegoro — yang melawan para penjajah Belanda berjumlah ratusan orang tanpa rasa takut dan rasa lelah, demi membela Indonesia:

“Di masa pembangunan ini
Tuan hidup kembali
Dan bara kagum menjadi api
Di depan sekali tuan menanti
Tak gentar. Lawan banyaknya seratus kali.
Pedang di kanan, keris di kiri
Berselempang semangat yang tak bisa mati.”


  • Penulis adalah Naib Presiden ABIM. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan