26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Kes tampar, dirujuk ke Unit Tatatertib dan Integriti KPM – Fadhlina

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KES seorang jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka yang didakwa menampar dua pemainnya telah dibawa ke Unit Tatatertib dan Integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk siasatan selanjutnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, proses siasatan sedang berlangsung dan pihaknya sedang menunggu keputusan berhubung kes tersebut.

“Berkenaan isu itu, kita sudah pun selesai siasatan dan kes sudah dibawa ke Unit Tatatertib dan Integriti KPM. Kita sedang menunggu hasil siasatan tersebut. Ingin saya tekankan di sini, dari awal sudah kita nyatakan dalam kes ini, proses sangat penting.

“Kita ada ruang keadilan untuk semua pihak malah guru tersebut juga boleh buat representasi. KPM tidak berkompromi soal keganasan.

“Proses (siasatan) sedang berlangsung, jadi kita tunggu lah hasil siasatan daripada Unit Tatatertib dan Integriti KPM,” katanya pada sidang akhbar berhubung Pasar Percuma 2023 Parlimen Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Sebelum ini, satu video memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemainnya tular di laman media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.

Bagaimanapun pada 4 Januari lalu, jurulatih tersebut telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesal dengan tindakannya itu.

Bapa kepada salah seorang pemain bola tampar yang ditampar juga enggan mengambil sebarang tindakan dan memohon netizen menghentikan segala kecaman terhadap jurulatih berkenaan.

Dalam perkembangan lagi, Fadhlina berkata, KPM turut memandang serius isu keciciran pelajar sekolah dalam sistem pendidikan nasional di seluruh negara.

Susulan itu menurutnya, KPM sedang merangka pelan pemulihan dalam menangani masalah tersebut.

“Isu ini dalam perhatian kita dan kita sedang mendapatkan maklum balas daripada semua termasuk NGO. Jika NGO itu mendakwa ada 100,000 pelajar tercicir, kita minta dia datang kepada KPM, bawa bersama data yang dia ada, buat intervensi bersama KPM.

“Ini kerana, kita nak lihat program-program yang sudah kita lakukan sebelum ini sama ada efektif atau tidak. Kita memandang serius isu ini dan sedang mengumpul data dan maklumat lengkap,” katanya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, setakat ini, KPM belum mempunyai data lengkap dan masih dalam proses mengumpul input-input untuk merangka pelan tersebut.

“Isu ini penting malah daripada awal lagi KPM dalam tujuh teras yang dibentangkan antaranya menangani isu keciciran pelajar,” katanya.

-EDISI9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan