26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Hadi diingat usah cari dalil untuk halalkan rasuah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diingatkan agar tidak mencari dalil bagi menghalalkan rasuah ketika memberikan wang tunai kepada pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, ini kerana pemberian wang tunai kepada pengundi untuk ‘membeli undi’ bukan sedekah sepertimana didalilkan oleh Hadi, sebaliknya itu adalah sogokan atau rasuah. 

Beliau menjelaskan, sedekah tidak mempunyai timbal balas jika pemberi benar-benar ikhlas memberi kepada mereka yang memerlukannya.

“Janganlah cari dalil untuk halalkan rasuah pengundi. Jika rasuah pengundi ini halal, ke manakah sistem politik dan demokrasi negara ini ingin dituju apabila parti dan ahli politik boleh sewenangnya merasuah pengundi atas nama sedekah untuk menang pilihanraya? 

“Dan sebelum pilihan raya atau semasa dalam kerajaan, untuk beri sedekah ini, mereka ambil rasuah dari projek kerajaan untuk guna duit itu bagi tujuan merasuah dan ‘sedekah’ pengundi untuk menang pilihan raya untuk membentuk kerajaan dan mendapat jawatan kerajaan,” katanya, semalam.

Isham mengakui politik memerlukan wang namun jika sistem pemberian ‘sedekah’ dengan mewajibkan penerima memberi undi kepada parti-parti tertentu ia merupakan satu sistem yang amat buruk.

Katanya, sistem itu perlu diubah dan bukannya menjadikan perkara itu lebih parah dengan mengamalkan politik wang ketika PRU atau semasa menjadi kerajaan.

Ujar Isham, negara memerlukan reformasi berhubung pendanaan politik supaya golongan muda tidak terlibat dalam politik jika jika mempunyai niat dan perjuangan yang baik tanpa perlu mengambil rasuah. 

“Jika tidak, hanya orang-orang kaya atau perasuah boleh berjaya dalam politik dan menentukan dasar-dasar untuk rakyat dan negara. Orang yang ikhlas, baik dan tidak kaya raya tidak berpeluang melawan duit ‘sedekah’ perasuah-perasuah kaya untuk berjaya dalam politik,” katanya. 

Abdul Hadi sebelum ini mempertahan pengagihan wang tunai oleh parti itu kepada pengundi semasa PRU-15 dengan mendakwa ia adalah ‘sedekah’ dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Hadi juga dilapor sebagai berkata, peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

-EDISI9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan