22.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, January 19, 2025

Tok Mat komited laksana Kertas Putih Pertahanan sebaik mungkin

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan hari ini.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan komited akan melaksanakan sebaik mungkin Kertas Putih Pertahanan yang telah diluluskan di Parlimen sebelum ini.

Ujar Ahli Parlimen Rembau itu, secara keseluruhannya tujuh teras utama yang terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan itu sedang dan telah dilakukan oleh jawatankuasa berkaitan.

Menurutnya, perkara itu menjadi keutamaan beliau ketika ini bagi memperkasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan dan sekiranya dilakukan dengan terbaik ia akan menjadi teras pelan pembangungan ATM.

“Pihak ATM telah pun mendapat kelulusan berkenaan Kertas Putih Pertahanan di peringkat Parlimen dan memulakan langkah strategik memperkasa ATM dalam ketiga-tiga perkhidmatan iaitu tentera darat, laut dan udara.

“Saya akan meneruskan apa yang sedang dilakukan pihak kementerian dan saya cuba sedaya upaya menambah nilai apa yang perlu diperkasa lagi.

“Keutamaan saya adalah bersama pimpinan ATM bagi setiap perkhidmatan dan awam demi memastikan supaya Kertas Putih ini dapat dijayakan sebaik mungkin,” katanya dalam sidang media pertama beliau sebagai menteri di Wisma Pertahanan hari ini.

Untuk rekod, Kertas Putih Pertahanan diluluskan di Parlimen pada 2019 dan dibentangkan pertama kali oleh Mohamad Sabu.

Ia kemudian diteruskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam pada itu ketika ditanya sama ada Kementerian Pertahanan perlu diberi peruntukan lebih besar, Mohamad menegaskan keselamatan dan kedaulatan negara perlu terus menjadi agenda negara.

Advertisements

“Pertahanan negara dan kedaulatan negara sepatutnya menjadi keutamaan. Kalau tak ada keselamatan dan pertahanan yang baik serta kedaulatan terancam, lupakanlah soal kemakmuran.

“Jadi, amat penting untuk orang faham kedaulatan negara adalah keutamaan dan kita terus pertahankan pesisiran, ruang udara dan sempadan negara dengan sebaik mungkin, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan hari ini.

Beliau tiba kira-kira pukul 3 petang di Dataran Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur selepas menghadiri mesyuarat Khas Kabinet Kerajaan Perpaduan pagi tadi.

Ketibaan beliau itu disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd. Aziz bersama-sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau turut menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sabtu lalu, Mohamad mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara sebagai ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Terbuka India: Izzuddin-Sze Fei wakil tunggal Malaysia ke ‘final’

AKHIRNYA kem badminton negara boleh melakar senyuman di Kompleks Sukan Indra Gandhi, New Delhi apabila Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze...

Lagi Artikel Berkaitan