28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Syarikat lori tular kemalangan, beri kerjasama ke atas siasatan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

UAC Berhad (UAC) akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan pihak berkuasa susulan kemalangan melibatkan sebuah lori milik syarikat tersebut yang tular di media sosial sejak kelmarin.

UAC dalam kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut berlaku pada 29 Oktober lalu, manakala video dan gambar mengenainya tersebar sejak 11 Disember lalu.

“Kami sedang berhubung dengan keluarga yang terkesan susulan kemalangan tersebut selain memberikan kerjasama penuh kepada siasatan pihak berkuasa sekali gus memberi sokongan terhadap undang-undang.

“Dalam masa sama, kami juga sedang menjalankan semakan dalaman ke atas kemalangan dahsyat ini, malah ia adalah kes luar biasa dalam sejarah 60 tahun penubuhan syarikat ini,”katanya.

Pada masa sama, UAC memberi jaminan, pihaknya sedang menilai dan akan mengetatkan lagi garis panduan serta prosedur operasi.

“Selain itu akan mengambil sebarang cadangan daripada pihak berkuasa dalam memastikan kejadian sedemikian tidak berulang kembali,”katanya.

Semalam, media melaporkan kisah sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbalik selepas terlibat kemalangan di laluan Gerik-Jeli sehingga meragut nyawa bayi dalam kandungan serta si isteri cedera parah.

Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Loke berkata, permit operasi syarikat lori yang mengakibatkan kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, Perak pada 29 Oktober lalu, akan digantung sementara untuk audit dibuat.

Tegasnya, beliau tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalanraya.

“Sehubungan dengan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah mengambil tindakan segera berhubung kes kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, Perak pada 29 Oktober lalu yang meragut nyawa bayi dalam kandungan berusia 34 minggu,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan