25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

KPKT tubuh badan bertindak selesai masalah 381 projek sakit

Projek-projek perumahan kategori sakit atau terbengkalai dipandang serius bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan badan bertindak untuk menyelesaikan 381
projek perumahan swasta yang sakit.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, beliau memandang serius terhadap projek-projek perumahan kategori sakit atau terbengkalai tersebut bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah.

Beliau berkata, pembangunan perumahan merupakan salah satu sektor yang penting dalam menjana ekonomi negara yang mana hampir 200 industri terlibat.

“Justeru, KPKT berharap industri perumahan akan terus berkembang maju pada tahun 2023.

“KPKT akan melancarkan lebih banyak rumah mampu milik yang berkualiti tinggi supaya rakyat dapat memiliki rumah yang selesa dan berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kor Ming berkata, berdasarkan statistik, KPKT akan membina sebanyak 83,728 rumah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan 22,209 rumah telah siap dibina, 47,637 unit dalam pembinaan dan baki 13,882
unit akan disiapkan menjelang akhir tahun 2025.

Sementara itu, beliau berkata, dalam pembinaan dan perancangan bandar, pihaknya akan memberi fokus kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Advertisements

Sehubungan itu, beliau berharap pihak swasta dapat bekerjasama secara aktif untuk membina lebih banyak ruang hijau dan menggunakan gaya reka bentuk yang mesra alam dalam pembinaan agar mewujudkan lebih banyak perumahan yang berdaya huni dan berkonsep hijau.

Bagi menyokong inisiatif untuk membantu lebih ramai golongan muda memiliki rumah pertama, pihaknya telah memperkenalkan insentif pengecualian duti setem 100 peratus bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

Manakala bagi pembelian rumah berharga RM500,001 hingga ke RM1 juta pula, katanya, akan menikmati pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus.

“Saya optimistik terhadap pasaran industri perumahan negara pada tahun depan.

“Sehubungan dengan itu saya berharap pengusaha-pengusaha dapat meningkatkan pelaburan domestik dan kerajaan perpaduan akan bekerjasama secara aktif dengan melancarkan dasar pro-perniagaan dan pro-rakyat.

“Marilah kita bekerjasama untuk memperjuangkan ekonomi negara dan menyelamatkan kehidupan rakyat,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan