31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Situasi banjir tunjuk trend penurunan – NADMA

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SITUASI banjir di seluruh negara secara umumnya menunjukkan trend penurunan dengan lima Pusat Penempatan Sementara (PPS) telah ditutup.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, lima PPS yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pontian, Johor; Japerun Kesidang di Melaka Tengah, Melaka dan di Perak melibatkan Dewan Serba Guna Kampung Padang Tembak di Hilir Perak, Dewan Orang Ramai Sungai Baru di daerah Larut, Matang dan Selama serta SK Simpang Tiga Parit, Perak Tengah.

“Tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah yang melibatkan 13 daerah masih terjejas akibat banjir, sehingga 12 tengah hari tadi.

“Seramai 3,107 mangsa daripada 969 ketua isi rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di 26 pusat pemindahan sementara (PPS),” menurut agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Ramalan Cuaca Signifikan dengan penumpuan angin dijangka berlaku di kawasan pantai Kelantan dan Terengganu serta utara dan tengah Sarawak, bermula esok hingga Sabtu ini yang berpotensi meningkatkan kelembapan di kawasan berkenaan.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang terutamanya pada sebelah petang hingga malam,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan empat sungai mencatatkan bacaan aras air pada paras bahaya setakat pukul 4 petang tadi iaitu Sungai Long Jegan, Sungai Long Teru dan Sungai Marudi di Sarawak serta Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah.

Selain itu, terdapat empat sungai mencatatkan bacaan aras air pada tahap amaran iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar, Kedah; Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dan Parit Keliling di Kampung Pasir, Johor Bahru, Johor dan Sungai Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan.

Selain itu, JPS turut mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Banjir Kilat, 3 petang tadi.

“Berdasarkan maklumat ramalan hujan oleh MET Malaysia, sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia, terdapat risiko kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku di beberapa daerah di Pahang, Terengganu, Johor dan Sabah,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) pula melaporkan terdapat lima lokasi terkesan banjir, enam lokasi cerun runtuh, satu lokasi jalan runtuh, satu lokasi kejadian jalan mendap dan dua lokasi kejadian jambatan rosak sehingga 2 petang tadi.

Menurut jabatan itu kesemua 16 kejadian itu melibatkan lapan lokasi dengan dua di Kelantan dan Negeri Sembilan serta masing-masing satu di Perak, Terengganu, Johor dan Pahang.

“Sehubungan dengan itu, orang awam diminta merujuk maklumat terkini daripada sumber yang sahih menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir,” katanya. – BERNAMA

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan