31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

MPN tidak terbabit dengan Profesor Melayu G70

Daripada 70 orang yang terlibat, sebahagian besar daripada mereka telah berpencen dan tidak lagi layak menggunakan gelaran profesor

Mesti Baca

GERAKAN sekumpulan kalangan akademik dan bukan akademik diberi nama Profesor Melayu G70 tiada kaitan sama sekali dengan Majlis Profesor Negara (MPN).

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, MPN berpendirian menghormati hak individu termasuk para profesor untuk mempunyai hak kebebasan bercakap dan bersuara, mengeluarkan pendapat dan buah fikiran serta berpersatuan selaras Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“MPN menyedari terdapat gerakan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Profesor Melayu G70 yang mengadakan sidang media khas untuk menyatakan pendirian mereka serta mengeluarkan satu deklarasi menyokong pihak tertentu dalam PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) yang akan diadakan pada 19 November ini.

“Berkaitan perkara itu, MPN ingin menegaskan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam tindakan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raduan berkata, pihaknya juga mendapati daripada 70 orang yang terlibat, sebahagian besar daripada mereka telah berpencen dan tidak lagi layak menggunakan gelaran profesor, melainkan mereka yang dilantik sebagai Profesor Emeritus dan ahli pergerakan tertentu.

Beliau berkata, sebagai pertubuhan yang mewakili para ilmuwan tertinggi negara, MPN sentiasa beriltizam dan berusaha memberikan sumbangan kepakaran akademik para ahlinya dalam setiap bidang.

Katanya, ini dilakukan melalui saluran dan tatacar yang ditetapkan selaras dengan statusnya sebagai Pemikir Negara dan menepati slogan Majlis Profesor Negara sentiasa bersedia Berkhidmat Untuk Negara.

MPN merupakan pertubuhan berdaftar yang bertujuan menggembeling kepakaran akademik tertinggi negara bagi tujuan pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Pada masa kini MPN mempunyai 3,000 ahli penuh yang merupakan Profesor dari universiti awam dan swasta serta lebih 7,000 Profesor Madya sebagai Ahli Bersekutu.

“Terdapat lebih 200 tokoh industri yang pakar dalam bidang masing-masing dipelawa menyertau MPN sebagai Ahli Kehormat,” katanya.

Dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini, kumpulan dinamakan Profesor Melayu G70 itu telah menyeru pengundi menolak calon-calon yang pernah mengkhinati amanah dan mandat yang diberikan rakyat kepada mereka pada pilihan raya terdahulu.

Jurucakap kumpulan itu, Profesor Datuk Dr. Ir. Wan Ramli Wan Daud berkata, ini kerana calon-calon berkenaan telah menyalahgunakan kedudukan politik mereka sebagai medan memenuhi kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu sahaja.

“Rakyat juga diseru menolak calon-calon yang menggunakan fitnah bagi meraih sokongan pengundi dan mengeksploitasi sentimen agama serta kaum.

“Calon atau parti yang melaga-lagakan rakyat berbilang bangsa dan budaya juga patut ditolak,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette.

Tambah beliau, PRU-15 merupakan satu kaedah perlembagaan yang mesti dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan