24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Saya mahu pimpin UMNO, jadi PM – Khairy

Mesti Baca

CALON Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan iltizam beliau untuk memimpin UMNO seterusnya menjadi perdana menteri suatu hari ini.

Kenyataan terbuka itu disuarakan beliau dalam satu ceramah kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan bagaimanapun berkata, beliau perlu membuktikan kredibilitinya terlebih dahulu dengan memenangi Parlimen Sungai Buloh bagi pihak Barisan Nasional (BN).

“Saya mahu bawa orang Sungai Buloh satu hari nanti, kita pimpin negara Malaysia insya-Allah. Anda sokong saya hari ini.

“Orang Sungai Buloh sokong saya hari ini insya-Allah dengan takdir Allah, satu hari nanti saya mahu mengetuai UMNO, suatu hari nanti saya mahu jadi perdana menteri untuk kita bangunkan negara ini.

“Tapi saya kena menang dahulu di sini,” katanya yang mendapat tepukan ribuan yang hadir.

Ribuan yang hadiri ceramah kempen memperkenalkan calon BN, Khaiy Jamaluddin di Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu yang pernah bertanding jawatan Presiden parti pada pemilihan tahun 2018 lalu tetapi tewas berkata, perkara itu tidak pernah disuarakan secara terbuka sebelum ini.

Ini kerana katanya, jika perkara itu diumumkan sudah pasti beliau akan ‘dikerat’ oleh kalangan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Advertisements

“Tetapi saya kira inilah masanya untuk saya suarakannya. Tapi bukan sekaranglah. Sekarang ini kita menang, kekanda saya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan jadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Rembau yang kini diletakkan untuk bertanding di Sungai Buloh berkata, dengan usia 46 tahun beliau mempunyai masa untuk menunggu.

“Tapi jangan lama sangatlah. Saya sudah bersedia tetapi saya kena buktikan di Sungai Buloh terlebih dahulu. Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti (UMNO).

“Saya datang ke kandang naga, 26,000 majoriti, saya menang kerusi untuk BN dan saya mahu ketuai parti, saya mahu ketuai negara ini sekarang,” katanya.

Di Parlimen Sungai Buloh, Khairy akan berdepan dengan enam calon lain iaitu R. Ramanan dari Pakatan Harapan, Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional) dan Mohd Akmal Mohd Yusoff dari Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

Turut bertanding di kerusi tersebut ialah Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) serta dua calon bebas iaitu Nurhaslinda Basri dan Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff.

Dalam PRU14 lalu, R. Sivarasa dari PKR menang dengan majoriti 26,634 undi menewaskan calon BN, A. Prakash Rao, Ustazah Nuridah (Pas) dan Zainurizzaman Moharam (Parti Sosialis Malaysia).

Seramai 158,090 pengundi berdaftar akan mengundi di P.107 itu dengan 155,659 adalah pengundi biasa manakala 2,388 pengundi awal sementara 43 orang lagi sebagai pengundi tidak hadir atau berada di luar negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan