28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, January 23, 2025

Exco Pemuda cadang KJ jadi TPM jika BN menang

Orang muda mahu melihat perubahan landskap politik dalam setiap parti.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

EXCO Pemuda UMNO Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mencadangkan agar Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, langkah cadangan itu jika dapat diumum antara lain mampu menjamin kemenangan besar BN.

“Saya percaya seandainya ini dapat dijanjikan, rakyat Malaysia dan pengundi muda khususnya akan melihat sebuah jaminan perubahan besar parti UMNO dan BN.

“Saya melihat bagaimana Khairy begitu diterima orang Sungai Buloh seolah-seolah kini hanya Sungai Buloh yang ada pilihan raya.

“Ini jelas, kenapa KJ (Khairy) diterima oleh setiap golongan lapisan masyarakat, ditambah kejayaan luar biasa beliau di setiap kementerian yang diterajuinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh itu menyuarakan hasrat memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.

Pertama kali menyatakannya secara terbuka, Khairy menggunakan pentas ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi bagi meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memilihnya pada PRU15, 19 November ini.

Advertisements

Muqharabbin berkata, orang muda mahu melihat perubahan landskap politik dalam setiap parti, justeru BN perlu berani menonjolkan dinamik dengan memberi ruang kepada pemimpin muda seperti Khairy.

“Saya yakin, seandainya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang sudah diputuskan parti sebagai Perdana Menteri, berani dan yakin meletakkan Khairy sebagai calon Timbalan Perdana Menteri. Saya percaya sepenuhnya dengan izin Allah SWT BN akan menang besar.

“Ini kerana negara akan dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa di peringkat lokal, bahkan juga antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, BN sudah banyak melalui perubahan terutama selepas mengalami kekalahan pada PRU14.

“Kini dengan muka-muka baharu yang wibawa seperti Shahril Hamdan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Zafrul, Datuk Hasmuni Hasan dan beberapa pemimpin muda wanita dan puteri, saya mengharapkan rakyat berikan peluang kepada BN untuk kembali menstabilkan ekonomi negara dan membantu rakyat dengan sehabis baik.

“Jangan ditipu lagi buat sekian kali, jangan terpedaya dengan helah dan momokan fitnah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), termasuk menjaja BN dengan kluster mahkamah dan perompak, sedangkan di pihak mereka juga ramai yang masih terpalit dengan perkara sama bahkan kes rasuah dan penipuan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Hasil Aneka Jaringan rekod peningkatan 35.19 peratus

ANEKA Jaringan Holdings Berhad (Aneka Jaringan), pakar pembinaan bawah tanah dan asas, dengan mengumumkan peningkatan hasil sebanyak 35.19 peratus...

Lagi Artikel Berkaitan