ANAK perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa berkongsi kisah manis mengenai bapanya ketika berkunjung di Ledang, Johor.
Kunjungannya itu adalah bagi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hamim Samuri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Nooryana yang mesra disapa Yana itu berkata, bapanya sering bercerita tentang kenangan manis beliau di Ledang semasa berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada awal tahun lalu.
“Saya rasa cukup teruja dengan sambutan meriah daripada penduduk Ledang dengan laungan ‘Hidup Barisan Nasional’ yang begitu lantang sekali.
“Tempat ini juga kawasan terakhir kempen pilihan raya (negeri) buat Datuk Sri Najib sebelum dihantar ke Kajang,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Nooryana memohon supaya pengundi di Ledang memberi sokongan yang jitu kepada calon BN.
“Datuk Hamim antara yang paling berpengalaman dalam urusan pentadbiran dan isu mengenai kebajikan buat penduduk di Ledang. Beliau juga seorang ahli politik yang cukup berhemah, dan setia kepada Parti dan negara.
“Terima Kasih sekali lagi. Thank you (terima kasih) Ledang,” katanya.
Dalam PRU-15, Hamim dicabar oleh calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Zaidi Abdul Majid; Syed Ibrahim Syed Noh (Pakatan Harapan); Rafidah Ridwan (Pejuang) dan dua calon bebas iaitu Cikgu Yunus dan Zainal Bahrom.
Syed Ibrahim adalah penyandang kerusi Parlimen tersebut yang menewaskan Hamim serta Rusman Kemin daripada Pas dalam PRU yang lalu.
-EDISI9