29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pengundi perlu fokus kepada Tawaran Padu BN

Kesemua ini adalah komitmen tinggi BN apabila kembali memerintah negara.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGUNDI perlu fokus kepada Tawaran PADU Barisan Nasional (BN) yang lebih segar dan realistik untuk dilaksanakan apabila BN menjadi pilihan rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terlalu banyak tawaran lebih kontemporari sifatnya dengan mengambil kira situasi untuk membantu rakyat berdepan dengan krisis ekonomi dan inflasi dunia.

“Antaranya ialah memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas sebagai salah satu inisiatif bagi menangani isu kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi.

“Ini dilakukan dengan mengkreditkan bantuan secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208.

“Masalah isi keluarga berpendapatan kurang RM2,208 akan dapat ditangani secara realistik dan munasabah.

“Kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang ditanggung keluarga kalangan kanak-kanak umur bawah enam tahun ke bawah masa kini semakin tinggi.

“Maka, untuk menyelesaikan masalah ini BN akan melaksanakan sistem asuhan dan pendidikan awal kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah diberikan secara percuma di seluruh negara.

“Inilah usaha untuk menyantuni keluarga rakyat Malaysia yang menjadi bukti keikhlasan komitmen dan pelaburan besar negara dalam memastikan asuhan serta pendidikan awal dilakukan dengan cara terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, BN juga akan memperkenalkan Sistem Persekolahan Tanpa Buku Teks yang akan menyaksikan pembelajaran berlangsung menggunakan komputer riba dan inisiatif besar dengan memberikan komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100 peratus liputan Internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.

“Langkah ini akan membantu menyelesaikan isu beg sekolah berat dan membolehkan kemas kini sukatan pelajaran dilakukan dengan lebih pantas serta mudah.

“Untuk mengurangkan sebahagian besar kos pengajian di universiti awam maka pengajian anjal, iaitu 50 peratus pengajian di kampus dan bakinya secara dalam talian atau jarak jauh akan dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan tinggi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik dan agama.

“Juga, BN akan memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak kalangan B40 sebagai usaha serius membasmi kemiskinan.

“Usaha seperti ini sangat bermanfaat kepada golongan muda negara,” katanya.

Selain itu, Zahid berkata, BN juga cakna isu wanita.

“Maka bagi wanita yang kembali ke alam pekerjaan selepas berehat daripada kerjaya, akan diberi pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya, selama lima tahun.

“Ini menunjukkan betapa prihatin BN terhadap pengorbanan wanita terhadap keluarga, masyarakat dan negara.

“Pemotongan cukai pendapatan dua peratus kepada kelompok M40 dan mereka yang termasuk dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50,000 hingga RM100,000 juga dilakukan untuk membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan rakyat,” katanya.

Kesemua ini kata beliau, adalah komitmen tinggi BN apabila kembali memerintah negara.

“Kesemua ini juga adalah antara penyelesaian yang adil, munasabah dan strategik untuk memberikan manfaat terbesar kepada rakyat bagi menangani kos sara hidup yang sangat membebankan dan memastikan tiada lagi isi rumah yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan, dan setiap lapisan masyarakat termasuk B40 dan M40 akan mendapat kesejahteraan hidup yang lebih baik lagi. Insya Allah!,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan