26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Parlimen Padang Serai mengundi 7 Disember – SPR

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen P0107 Padang Serai akan diadakan pada 7 Disember 2022.

Manakala, penamaan calon pada 24 November ini sementara hari mengundi awal pada 3 Disember 2022.

Sehubungan itu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata proses pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai tidak akan diadakan esok.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat suruhanjaya itu yang diadakan hari ini.

Katanya, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka daripada 18 November dan ditutup pada 22 November.

“Calon-calon layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

“Manakala bakal calon baharu yang ingin bertanding hendaklah menyerahkan Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon ditetapkan SPR,” katanya.

Parlimen Padang Serai sepatutnya menyaksikan pertandingan enam penjuru antara penyandang kerusi berkenaan, M Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) ditentang Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (BN), Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon bebas, Ananda AK.

Bagaimanapun Karupaiya, 69, meninggal dunia akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan beberapa hari menjelang hari pengundian.

Sebelum ini, Datuk Seri Azalina Othman Said menolak diadakan penangguhan PRU-15 bagi Parlimen Padang Serai itu berdasarkan Peraturan 11(6) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Petugas Khas Demokrasi Undang-undang BN berkata, peraturan itu menyebut SPR hanya boleh menetapkan tarikh baharu sebelum pengundian dimulakan sama ada melalui pengundian awal atau menjelang hari pengundian.

Katanya, bagi kes Padang Serai, pengundian awal sudah pun bermula pada 7 November (undi pos) dan 15 November membabitkan polis, pasukan keselamatan dan pasangan masing-masing. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan