36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Noh letak jawatan, desak Zahid berundur

Ekoran hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, berkuat kuasa serta-merta.

Pada masa yang sama, beliau yang tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) turut mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar meletakkan jawatannya.

Noh berkata, Presiden sudah hilang keyakinan terhadapnya dan pada masa yang sama bekas beliau sendiri turut hilang kepercayaan kepada Presiden.

“Saya dengan rasminya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor kerana bukan sahaja Presiden (UMNO) tidak percaya kepada saya, (tetapi) saya juga hilang kepercayaan kepada Presiden.

“Saya juga minta kalau Presiden berjiwa besar, dia patut letak jawatan sepertimana dilakukan Datuk Seri Najib (Razak) bila kalah (pada PRU-14), dia dipaksa letak jawatan.

“Biar orang baharu urus UMNO. Sebagai Presiden parti, dia hanya menang 300 lebih sahaja,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Noh berkata, beliau masih lagi menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan akan terus menghadapi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi selepas ini.

“… saya masih lagi Ahli Majlis Tertinggi. Saya akan datang mesyuarat Majlis Tertinggi tetapi tidak (lagi hadir) mesyuarat Biro Politik,” katanya.

Ditanya sama ada Zahid memberi maklum balas berhubung desakan itu, Noh berkata itu terpulang kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk membuat keputusan.

Dalam PRU-15 semalam, BN mengalami kekalahan memalukan apabila hanya menang 30 kerusi daripada 178 kerusi yang ditandingi.

Malahan Zahid yang dicabar tiga calon lain hanya menang dengan majoriti 348 undi, mengatasi pencabarnya Datuk Seri Shamsul Iskandar (Pakatan Harapan) dan Dr Faiz Na’aman dari Perikatan Nasional serta calon bebas, Tawfik Tun Dr Ismail.

BN Selangor juga mengalami mimpi buruk apabila gagal memenangi sebarang kerusi di negeri itu, malah terpaksa melepaskan Tanjung Karang yang menjadi satu-satunya kerusi yang dimenangi pada PRU-14 lalu. – Edisi 9

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan