24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi mulai pagi esok

APAD mengisytiharkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya

Mesti Baca

PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya akan kembali beroperasi sepenuhnya bermula jam 6 pagi esok, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurut beliau, perkhidmatan laluan dari arah Stesen LRT laluan Kelana Jaya ke Ampang Park itu akan beroperasi dua hari lebih awal daripada jangkaan, selepas perkhidmatan tren berkenaan mengalami gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) sejak Sabtu lalu.

Beliau berkata, selepas tinjauannya menyertai sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan operasi LRT, sistem kritikal keselamatan adalah stabil tanpa gangguan.

“Saya baru menaiki tren LRT sebagai sebahagian daripada sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan. Saya amat berpuas hati dengan analisis ke atas ujian meluas yang dijalankan.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik ATC dan mengisytiharkan bahawa perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur hari ini.

Wee Ka Siong berpuas hati dengan analisis ke atas ujian yang dijalankan terhadap LRT laluan Kelana Jaya. – Sumber: FB Wee Ka Siong

Tambahnya, pemantauan dari pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM akan diteruskan bagi memastikan kelancaran sistem berterusan.

Advertisements

Dalam pada itu beliau memaklumkan pampasan tiket selama 7 hari akan diberikan walaupun pemberhentian perkhidmatan adalah lima hari.

Menurutnya, pengguna yang terjejas, akan diberikan pampasan tiket selama tujuh hari walaupun pemberhentian perkhidmatan selama lima hari.

Pada 9 November lalu, Prasarana Malaysia Berhad telah mengumumkan 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 November ekoran gangguan sistem.

Gangguan itu menyebabkan para pengguna terpaksa menanggung ‘derita’ bersesak dan menggunakan bas perantara malah yang berjalan kaki untuk pulang ke rumah ekoran kesukaran mendapatkan pengangkutan alternatif.

Susulan itu, Wee telah memohon maaf bagi pihak kerajaan atas kesulitan yang dihadapi pengguna LRT tersebut yang mengalami gangguan perkhidmatan akibat kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).

Ekoran itu, pihak Prasarana telah mendapatkan bantuan daripada pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group, pakar dari Turkiye dan Kanada bagi mencari punca utama kegagalan ATC. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan