28.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

KJ perlu belajar ‘ilmu politik UMNO’ jika mahu jadi PM

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

INI bukan kali pertama aku dengar KJ nak jadi PM. Beberapa tahun lalu, semasa dia jadi Ketua Pemuda dan bapa mentuanya Presiden UMNO, KJ pernah suarakan hasrat untuk jadi PM sebelum umur 40 tahun.

Dan selepas tidak mempertahankan kerusi Ketua Pemuda pada pemilihan 2018, beliau telah bertanding untuk merebut jawatan Presiden, lawan Zahid Hamidi dan Ku Li.

Anehnya, KJ adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau bertanding jawatan Presiden sementara ketuanya, Mohamad Hasan hanya berani bertanding Timbalan Presiden.

Aku percaya langkah KJ bertanding jawatan Presiden itu tak terfikir oleh sesiapa termasuk Mat Hasan. Ada orang kata KJ ambil langkah berani, terus bertanding jawatan No. 1 dalam parti, ada juga yang kata KJ ‘bunuh diri’.

Aku tak kenal sangat KJ secara ‘in person’ tapi mengikuti perkembangannya, cara dia berpolitik dan cuba meletakkan kedudukan dirinya di puncak tanpa sokongan bawahan, aku rasa dia mengambil jalan sukar.

Sebab aku juga lama mengikuti corak politik UMNO. Parti ini tak sama dengan PKR atau MUDA sebab kalau tengok sejarah penubuhannya, maka tahulah bahawa semangat kemelayuannya begitu kental.

UMNO ditubuhkan di kaki istana dengan semangat perjuangan mempertahankan agama, bangsa, tanah air dan raja-raja Melayu.

Bukan aku kata KJ tak ada semangat kemelayuan, tapi faham-fahamlah kalau dia hampir separuh usianya tinggal di luar negara. Anak seorang diplomatlah katakan!

Khairy Jamaluddin mengejutkan ramai ahli UMNO apabila bertanding jawatan Presiden ketika berusia 42 tahun.

KJ juga perlu belajar cara Anwar Ibrahim membina karier dalam UMNO. Masuk selepas dijemput oleh Mahathir Mohamad, membina rangkaian ‘sokongan’ ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO dan kemudian melakukan apa sahaja untuk naik sehingga ke no. 1.

Matlamat itu hampir beliau capai, jika seandainya tiada kejadian yang tidak bermoral, dan Mahathir tidak memecatnya daripada UMNO, nescaya sehingga kini Anwar kekal sebagai Presiden UMNO. Tapi takdir dan perancangan Allah itu tidak sedemikian.

KJ sepatutnya sudah berada di kedudukan nombor tiga dalam UMNO masa kini sekiranya dia sedikit bersabar pada 2018 lalu. Andai dia bertanding jawatan Naib Presiden ketika itu, nescaya dia dapat mengisi salah satu daripada tiga jawatan itu.

Advertisements

Tapi KJ memilih untuk bertanding jawatan Presiden, dan akibat kekalahan dia seolah-olah dipulaukan (dia sendiri merasakan dipulau). Itulah ‘ilmu politik UMNO’ yang KJ tidak hayati.

Kalau tanya pendapat aku, apakah KJ layak jadi PM? KJ seorang pemimpin politik yang berbakat, bijak dan petah berbicara. Dia juga seorang yang mampu melaksanakan apa sahaja tugas.

Ketika di Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sehingga jawatan terkini dalam Kementerian Kesihatan, dia dilihat antara menteri yang cemerlang.

Auranya tidak kalah hebatnya. Mungkin setanding Anwar semasa muda atau Syed Saddiq. Malah KJ jauh lebih banyak kelebihan berbanding kedua-dua pemimpin tadi.

Namun, untuk memimpin UMNO dan menjadi Perdana Menteri, KJ yang kini baharu berusia 46 tahun perlu lebih bersabar, perlu tahu bila nak ekori kereta di hadapan, bila nak tekan brek atau memecut ke depan.

Aku selalu kata, kalau KJ di Kanada dah lama dia jadi PM. Sebab di sana ahli-ahli parti tak persoal cara kau berfikir, ke kanan atau ke kiri, liberal atau ortodok. Yang penting bijak dan berkaliber. Agaknyalah…

Tapi dalam politik UMNO ada seninya tersendiri, ada ‘warlord’ yang kena hadapi, kaum wanita yang berbulu mata bila tengok lelaki pakai stokin pink dan macam-macam golongan lagi.

KJ perlu harungi semua ranjau tersebut dan jika mahu memimpin UMNO beliau perlu memenangi hati ahli-ahli dari peringkat cawangan, bahagian hinggalah ke Pusat. Dan perkara itu tidak mudah.

Namun aku percaya, KJ mampu mengharunginya. Dia perlu buktikan kewibawaannya memenangi Parlimen Sungai Buloh, kawasan yang dikatakan ‘naga’.

Inilah masanya kita mahu melihat keupayaan KJ menarik golongan muda menyokong Barisan Nasional (BN), yang dilihat gagal dilakukannya ketika memimpin Pemuda UMNO semasa PRU-14 lalu.

Selamat maju jaya KJ!

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan