PRESIDEN UMNO. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mendengar luahan dan pandangan pemimpin serta akar umbi yang mendesak beliau berundur daripada jawatan parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga perlu memikirkan masa depan parti tersebut.
Beliau berkata, tindakan Zahid yang menutup telinga tanpa memberi sebarang kata putus terhadap desakan tersebut adalah tidak wajar.
“Presiden kena dengar pandangan daripada semua. Bila Ketua Bahagian UMNO buat kenyataan, beberapa pihak buat kenyataan.
“Sehubungan dengan itu, saya harap Presiden UMNO buat pertimbangan sewajarnya. Jangan menutup telinga untuk tidak mendengar langsung pandangan,” katanya hari ini.
Ismail Sabri berkata, Zahid tidak boleh dipecat begitu sahaja kerana beliau memenangi jawatan Presiden menerusi pemilihan parti.
“Presiden kalau mahu dipecat mesti dua pertiga ahli panggil mesyuarat agung luar biasa untuk pecat Presiden.
“Tapi Presiden juga boleh menarik diri atau berhenti. Itu kuasa yang diberikan Perlembagaan (parti),” katanya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO di semua peringkat telah mendesak Zahid berundur sebagai pertanggungjawaban beliau atas prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu lalu.
Dalam pilihan raya itu BN hanya memenangi 30 kerusi daripada 157 yang dipertandingkan termasuk gagal meraih sebarang kerusi di Melaka, Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
BN juga tewas di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, Perak dan Pahang yang dimenangi mereka dalam PRU-14 lalu.

