25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Henti kemelut politik tidak berkesudahan, pesan Agong

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan agar Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang akan dibentuk tidak lagi membebankan rakyat dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

Seri Paduka Baginda juga mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat agar mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara,” titah Baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, Seri Paduka Baginda, selepas mendapat titah pandangan Raja-raja Melayu telah memperkenankan melantikan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Ia sekali gus menamatkan polemik pelantikan Perdana Menteri yang baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu lalu, menyaksikan tiada parti atau parti gabungan yang memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta,” titah Baginda.

Advertisements

Seri Paduka Baginda juga menegaskan bahawa negara ini merupakan harta pusaka yang mana para pemimpinnya adalah pemegang amanah dan perlu menjaganya dengan sebaik mungkin.

“Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ianya bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

Kata Ahmad Fadhil, Raja-raja Melayu juga menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU-15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.

“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat agar terus beristiqomah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa berada diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang bencana dan musibah,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan