32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Anwar PM-10, angkat sumpah 5 petang ini

Pelantikan Anwar selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mesti Baca

AHLI Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-10 di Istana Negara, pukul 5 petang ini.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, selepas memperhalusi titah pandangan Raja-raja Melayu.

Menurut beliau, pelantikan Anwar,75, selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda mengingkatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Justeru, bagaikan biduk lalu kiambang bertaut, hulukan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewam Rakyat demi masa depan negara tercinta,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum itu berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara.

Pada sesi tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan mewasalkan kepada Raja-raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.

Perbincangan Khas itu juga bagi mendapatkan pandangan Raja-raja Melayu untuk membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

Ahmad Fadil berkata, proses tersebut bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Dalam PRU-15 lalu, tiada mana-mana parti atau parti gabungan yang memperoleh majoriti mudah atau separuh daripada 221 kerusi yang dipertandingkan, bagi membentuk kerajaan.

Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Parti Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Bebas (2) serta masing-masing satu kerusi oleh PBM dan KDM.

Dalam PRU-15 lalu, Anwar memenangi kerusi Tambun dengan majoriti 3,736 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Perikatan Nasional (PN) serta dua calon lain.

Beliau mendapat 49,625 undi manakala Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu memperoleh 45,889 undi sementara Datuk Aminuddin Hanafiah (BN – 28,140 undi) serta calon Pejuang, Abdul Rahim Tahiir mendapat 1,115 undi. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan