26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Ekonomi negara berkembang 14.2 peratus suku ketiga – BNM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

EKONOMI Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pertumbuhan itu sebahagiannya didorong oleh kesan asas yang rendah, berikutan langkah pembendungan yang ketat pada suku ketiga tahun lepas.

Beliau berkata berdasarkan pertumbuhan baik yang dicatatkan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, pertumbuhan keseluruhan bagi 2022 akan melebihi 7.0 peratus yang diunjurkan sebelum ini.

“Krisis ekonomi lazimnya dikaitkan dengan penguncupan KDNK, kadar pengangguran yang lebih tinggi, penutupan perniagaan dan kegagalan pengantaraan kewangan.

“Kita tidak menyaksikan petunjuk ini. KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) telah berkembang pada empat suku berturut-turut sejak suku keempat 2021,” katanya semasa sidang media bersama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perkhidmatan berkembang 16.7 peratus, pembuatan mencatatkan 13.2 peratus, pertanian berkembang sebanyak 1.2 peratus, perlombongan pula tumbuh pada 9.2 peratus dan pembinaan sebanyak 15.3 peratus.

Aktiviti berkaitan pengguna lebih tinggi susulan pemulihan sektor pelancongan, keadaan pasaran buruh menjadi lebih baik dan sokongan dasar meningkatkan sektor perkhidmatan, selain itu bagi sektor pertanian, pengeluaran sawit lebih tinggi didorong kekurangan buruh yang semakin dapat ditangani dan hasil yang lebih baik, katanya.

Beliau berkata penggunaan swasta terus menyokong pertumbuhan pada suku ketiga 2022, dengan perbelanjaan isi rumah ke atas barangan keperluan dan item budi bicara merekodkan pertumbuhan 15.1 peratus tahun ke tahun, manakala penggunaan awam terus meningkat berdasarkan nilai bekalan dan perkhidmatan yang lebih tinggi.

Akaun semasa merekodkan lebihan berjumlah RM14.1 bilion atau 3.1 peratus daripada KDNK, berbanding dengan hanya 1.0 peratus daripada KDNK pada suku kedua 2022, sebahagian besarnya disokong oleh lebihan barangan yang meningkat disebabkan eksport yang lebih kukuh dalam keadaan harga komoditi yang tinggi.

Pelaburan langsung asing meningkat kepada RM54 bilion dalam tempoh sembilan bulan tahun ini daripada RM29.7 bilion bagi tempoh sama 2021, namun aliran masuk adalah perlahan berasaskan suku ke suku dalam keadaan aliran keluar yang lebih tinggi daripada instrumen hutang.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata pertumbuhan Malaysia dijangka kembali normal menjelang 2023, dalam situasi persekitaran luaran yang lebih mencabar.

Beliau berkata yang penting bagi Malaysia adalah untuk menjamin prospek pertumbuhan masa depannya bagi mengukuhkan lagi asas ekonomi dan meningkatkan daya tahan negara di samping menekankan langkah pembaharuan struktur yang diperlukan.

“Walaupun persekitaran global dijangka mencabar pada 2023, ekonomi Malaysia akan terus berkembang. Ekonomi ini diunjurkan berkembang sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2023, dan terus mengatasi paras sebelum pandemik,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kukuh kadar pekerjaan dan penambahbaikan berterusan dari segi upah menyokong perbelanjaan.

“Penerusan projek infrastruktur sedia ada dan baharu serta ketibaan pelancong yang lebih tinggi akan menyokong pertumbuhan pada 2023,” katanya.

Antara projek infrastruktur itu ialah Laluan Rel Pantai Timur bernilai RM50 bilion, Transit Aliran Ringan 3 bernilai RM16.6 bilion, ‘Central Spine Road’ bernilai RM7.3 bilion dan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Dua dengan RM8 bilion.

Nor Shamsiah berkata impak kelembapan mendadak yang dialami permintaan luaran akan dikurangkan sebahagiannya oleh kepelbagaian produk dan pasaran eksport.

“Eksport Malaysia yang pelbagai akan membantu mengurangkan potensi kejutan dalam permintaan luar,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia masih cenderung kepada negatif, yang timbul terutamanya daripada faktor luaran.

Faktor luaran ini adalah pertumbuhan global yang lebih lemah berbanding jangkaan, peningkatan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk termasuk kesan daripada perubahan iklim, kenaikan kos sara hidup yang lebih cepat dan inflasi, ketidaktentuan pasaran kewangan yang lebih ketara serta ketidaktentuan politik, katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan