PUSAT pelancongan, Bukit Malawati di Kuala Selangor ditutup sementara berikutan berlaku runtuhan tanah di tebing laluan kawasan itu hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu turut mengakibatkan pokok tumbang sehinggakan telah menutupi laluan tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bagaimanapun tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku di kawasan runtuhan.
“Seramai 32 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 10.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Norazam berkata, hasil pemeriksaan mendapati runtuhan tanah itu melibatkan tebing salah satu laluan di Bukit Malawati.
“Kawasan runtuhan itu tidak melibatkan jalan utama dan pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sedang memotong pokok tumbang.
Sehingga kini, katanya, pihaknya sedang membersihkan lokasi runtuhan dan memastikan keselamatan kawasan berkenaan.
“Selain MPKS, operasi itu disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Pemantauan lanjut terus akan dilakukan di sekitar kawasan pelancongan tersebut,” katanya. – Edisi 9

