28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PM umum Parlimen dibubar, beri laluan kepada PRU-15

Syor ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar turut membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Perutusan Khas yang disiarkan dari Perdana Putra, Putrajaya pada pukul 3 petang.

Dalam perutusannya, Ismail Sabri berkata, beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari semalam bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022.

“Sehubungan dengan itu, saya mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor
supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu tiga negeri yang ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU-15 diadakan tahun ini.

Manakala Pas juga bercadang untuk membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah juga secara berasingan sekiranya Parlimen dibubarkan tahun ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan Kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU-15.

Ujar beliau, pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya.

PRU-15 adalah yang pertama di bawah kepemimpinan Ismail Sabri selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lalu.

Sejak PRU-14, negara berhadapan isu pergolakan politik sehingga berlaku pertukaran penyandang jawatan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dengan bilangan Ahli Parlimen yang melompat parti mencecah lebih 40 individu. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan