28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Bilik gerakan SPRM diwujudkan di setiap negeri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BILIK gerakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuka di setiap negeri bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menyalurkan salah laku yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali hari ini.

Beliau berkata, amalan membuka bilik gerakan itu sudah dilakukan pada PRU sebelum ini dan akan diselaraskan di Ibu Pejabat SPRM.

“Susulan pembubaran Parlimen, kita menyediakan bilik gerakan pada PRU-15 dan semuanya diselaraskan di bilik gerakan utama di ibu pejabat bermula sekarang.

“Jadi, jika ada sebarang isu berkaitan rasuah sepanjang PRU-15 ini, kami akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya lapor BH Online.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Antirasuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Nilai, hari ini.

Sementara itu, Norazlan dalam ucapannya berkata, pembabitan mahasiswa dalam acara debat membolehkan mereka lebih arif dan memahami isu berkaitan rasuah serta usaha dilaksanakan.

“Sebahagian usul diberikan kepada pendebat sebenarnya antara cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan dan SPRM ke arah penambahbaikan usaha pencegahan rasuah dalam negara ini.

“Sebahagian usul lagi adalah isu semasa berkaitan rasuah yang sering diperdebatkan dalam kalangan warga maya berasaskan sumber yang tidak tepat dan akhirnya disalah erti, seterusnya mewujudkan persepsi negatif terhadap SPRM dan kerajaan,” katanya.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan