31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Bila masa saya ‘tikam belakang’ Tun Mahathir? – Muhyiddin

Walaupun kecewa dengan keputusan MPT Bersatu, Tun Mahathir tidak sepatutnya meletak jawatan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terkejut apabila dituduh ‘tikam belakang’ sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020.

“Saya tidak tikam sesiapa. Saya cuma mahu menyelamatkan negara. Tun Mahathir kata saya tikam beliau dari belakang. Jenuh saya memikirkan bila masa saya menikamnya.

“Saya pada mulanya tidak mahu melayan tuduhan ini kerana bagi saya ini cerita politik yang telah berlalu. Saya lebih suka mengambil sikap berlapang dada.

“Tetapi saya berfikir semula. Kalau saya tidak jelaskan kedudukan yang sebenarnya, ramai orang akan mempunyai pandangan serong terhadap saya,” katanya dalam Facebook hari ini.

Bahkah Muhyiddin menyatakan kemungkinan ramai yang tidak mengetahui cerita sebenar.

“Jadi marilah saya ceritakan. Pada pagi 24 Februari 2020, iaitu hari Tun Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, saya menemui beliau di rumahnya. Beliau tidak beritahu saya tentang niatnya untuk meletak jawatan.

“Setelah saya pulang ke rumah, saya menerima sepucuk surat daripada Tun Mahathir memaklumkan kepada saya bahawa beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan.

Malah menurut Muhyiddin, pada masa yang sama, sepucuk surat peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dihantar ke Istana Negara.

“Saya amat terkejut dengan tindakan Tun Mahathir meletak jawatan. Saya bergegas semula ke rumahnya untuk memujuk beliau supaya menarik balik peletakan jawatannya. Namun beliau berkeras untuk meneruskan niatnya.

“Pada sebelah petangnya, pimpinan Bersatu, Pas, UMNO, GPS dan Warisan berkumpul di rumah Tun Mahathir untuk memujuk beliau supaya menarik balik peletakan jawatannya. Malangnya, beliau masih berdegil.

Menurut Muhyiddin, antara alasan yang diberikan di dalam surat Tun Mahathir kepada beliau ialah tidak lagi mendapat sokongan Majlis Tertinggi parti yang mewakili ahli-ahli parti.

“Sehari sebelumnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH). Beliau meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan keputusan MPT Bersatu untuk keluar PH.

“Sebenarnya, Tun Mahathir telah memulakan gerakan untuk Bersatu keluar dari PH. Tetapi beliau membuat pusingan u di saat akhir apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuaratnya pada 21 Februari 2020 membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

“Sebelum itu, kalau kita masih ingat, beliau telah didesak oleh beberapa pihak di dalam PH supaya berundur untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM-8.

“Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, beliau cuba meyakinkan MPT Bersatu supaya kekal berada di dalam PH. Tetapi MPT Bersatu hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya.

“Keputusan berkenaan dibuat kerana memikirkan Bersatu semakin kehilangan sokongan orang Melayu akibat tindak-tanduk beberapa pihak di dalam PH terutamanya parti DAP yang dilihat gagal menjaga sensitiviti orang Islam dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Dalam dua pilihan raya kecil di Semenyih dan Tanjung Piai, calon Bersatu yang bertanding atas tiket PH kalah.

“Sokongan pengundi Melayu kepada Bersatu ketika itu merosot walaupun kedua-kedua kerusi ini dimenangi oleh Bersatu dalam PRU-14.

Walaupun kecewa dengan keputusan MPT Bersatu, Tun Mahathir tidak sepatutnya meletak jawatan, kata Muhyiddin.

Dakwa beliau, ini kerana pada masa itu telah ada 138 Akuan Bersumpah Ahli-Ahli Parlimen dari Bersatu, PKR, Pas, BN, GPS, PBS dan Warisan yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Advertisements

“Saya adalah salah seorang Ahli Parlimen yang telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

“Maksudnya, walaupun Bersatu keluar PH, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tidak terjejas. Malangnya, Tun Mahathir meletak jawatan juga atas kerelaannya sendiri.

Menurut Muhyiddin, apabila seorang Perdana Menteri meletak jawatan, maka menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri baharu mesti dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

“Dengan peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu, saya sebagai Presiden parti telah mempengerusikan mesyuarat khas MPT Bersatu.

“Mesyuarat tersebut telah sebulat suara membuat keputusan untuk mencalonkan semula Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Semua Ahli Parlimen Bersatu telah diarahkan supaya menyokong Tun Mahathir.

“Pada ketika itu, Presiden PAS dan Presiden UMNO mencadangkan supaya saya menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri. Saya tolak pencalonan itu kerana keputusan parti ialah untuk menyokong Tun Mahathir.

“Ketika semua Ahli Parlimen dipanggil menghadap oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, saya telah menyatakan sokongan saya kepada Tun Mahathir.

Malangnya menurut Muhyiddin, Tun Mahathir gagal mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

“Sebahagian besar Ahli-Ahli Parlimen yang menandatangani Akuan Bersumpah menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini telah menarik balik sokongan kepadanya.

“Oleh sebab itu, menurut Perlembagaan Persekutuan, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

“Seorang lagi calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pun gagal mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Menurut Muhyiddin, negara pada masa itu terumbang-ambing kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen yang lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Pada ketika itulah saya sekali lagi didatangi oleh rakan-rakan dalam parti Pas dan UMNO yang menyatakan sokongan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Menurut mereka, inilah satu-satunya cara untuk menyelamatkan negara daripada keadaan yang terumbang-ambing.

Menurut Muhyiddin, sebagai tanda hormat beliau kepada Tun Mahathir, beliau telah menemuinya untuk meminta sokongan.

“Beliau beritahu saya beliau sedia memberi sokongan kepada saya sebagai Perdana Menteri jika saya berjaya mendapatkan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

“Saya beritahu Tun Mahathir, Insya-Allah saya akan mendapat sokongan majoriti. Namun, Tun Mahathir membuat pusingan u sekali lagi apabila beliau mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk berlawan dengan saya. Allahuakbar.

“Jadi, cuba saudara dan saudari bayangkan. Adakah saya menikamnya dari belakang? Adakah saya khianat? Saya buat ini demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara saya. Saya bukan pengkhianat.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyatakan bakal berkongsikan sebab mengapa Bersatu keluar PH pada masa akan datang.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan