28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Usah gundah-gulana KJ, inilah namanya perjuangan

Benih yang baik kalau dicampakkan ke laut sekali pun pasti akan menjadi pulau

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

NAK tak nak perlu diakui Khairy Jamaluddin (KJ) mempunyai kebolehan sebagai seorang menteri. Perkara itu dibuktikan sepanjang beliau berada dalam Kabinet sejak di bawah Najib Razak lagi sehinggalah ke Ismail Sabri Yaakob.

Menantu Pak Lah ini mempunyai ciri-ciri seorang menteri yang disenangi rakyat – bijak, petah berbicara, tersusun tutur kata, cemerlang dalam setiap portfolio yang dipegang. Tolak tepi jika ada yang mengatakan dia seorang lelaki pujaan Malaya kerana gelap, tinggi dan tampan.

Lalu apabila Tok Mat Hasan menyatakan mahu bertanding di Parlimen Rembau, kerusi yang disandang KJ sejak 2008, dia mula gundah-gulana. Ke mana harus di bawa diri selepas ini? Kerana kegundahannya, dia sanggup untuk “tidak akan bertanding” dalam PRU-15 nanti.

Dah 20 tahun katanya berbakti untuk rakyat Rembau tiba-tiba terpaksa melepaskannya pergi demi seorang ketua. Itulah namanya perjuangan, KJ. Kadang kita mengorbankan diri untuk orang lain. Ingat, sebelum ini pun ada yang mengorbankan dirinya demi memberi laluan kepada kamu…

Jadi, KJ janganlah gundah-gulana. Sebagai seorang anak muda lulusan universiti tersohor luar negara, seorang yang bijak dan sudah tentu mempunyai aura yang kuat terutama kalangan anak muda, maka di mana sahaja KJ diletakkan sebetulnya tidak menjadi hal.

Rembau hanyalah ‘kampung’ KJ dan inilah masanya KJ membuktikan bahawa beliau bukan jaguh kampung dan menjadikan dirinya bagai benih, campak di laut pasti akan menjadi pulau.

Advertisements

Pun begitu janganlah dikorbankan kebolehan beliau sehingga terpaksa melepaskannya pergi tanpa diberi tempat walaupun dia pernah mencabar Zahid untuk jawatan Presiden UMNO dan kelihatan tidak begitu mesra dengan pimpinan tertinggi parti hari ini.

Lalu kalau bukan Rembau, Parlimen mana lagi yang sesuai untuk anak muda ini? Bagi aku, Tampin adalah paling sesuai bagi beliau. Selain kedudukannya hanya di sebelah Rembau.

Tampin juga memerlukan seorang calon hebat untuk merampas kembali daripada Pakatan Harapan (PH) semasa PRU-14 lalu. Lagipun Tampin bukanlah kerusi “bunuh diri” sebaliknya mempunyai potensi yang tinggi.

Parlimen Tampin sebetulnya kubu kuat bagi BN sehinggalah ‘tsunami politik’ pada PRU-14 menyaksikan penyandang, Shaziman Abu Mansor tewas dengan majoriti tipis iaitu 1,002 undi kepada Dr Hasan Bahrom dari PKR.

Ini bermakna, Tampin mempunyai peluang yang cerah untuk dirampas kembali jika kena pada calonnya dan aku melihat calon terbaik untuk diletakkan adalah KJ. Mungkin ada pemimpin UMNO Bahagian Tampin tidak senang dengan cadangan ini, namun sekali lagi aku katakan… Inilah pengorbanan dalam parti!

Dalam keadaan BN sudah ditewaskan dalam PRU-14 lalu dan ketika parti itu bernasib baik kerana kerajaan yang sebelum ini dipimpin oleh pembangkang namun akhirnya kembali ke tangan UMNO melalui rundingan — UMNO dan BN tidak ada pilihan melainkan berkorban demi kemenangan mutlak.

KJ pastikan akan mengorbankan kerusi Parlimen Rembau untuk Tok Mat yang juga bosnya, dan pada masa yang sama para pemimpin (terutama mereka yang sudah memasang kuda-kuda untuk menjadi calon) sebaiknya berkorban untuk membuka laluan kepada KJ.

Orang UMNO kena berjiwa besar. Itulah asas perjuangan parti keramat ini dari dulu, kini dan selamanya. Jadi, boleh ke?

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan