PEMUDA UMNO hari ini melahirkan kebimbangan berhubung trend kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar yang berlaku ketika ini.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun masih belum seteruk berbanding awal 1998 namun kadar RM4.52 bersamaan USD1 ketika ini sudah tentu memberi kesan besar kepada harga barang terutama dari luar negara.
“Istilah ini kita panggil sebagai imported inflation. Kita mungkin tidak perasan pada peringkat awalnya kerana masih berjual beli dengan ringgit.
“Tetapi situasi ini secara perlahan akan menyebabkan kenaikan harga barang sehinggalah pengguna merasa terjerut akhirnya. Saya kira sudah sampai masanya satu tindakan drastik dibuat.
“Langkah menaikkan kadar faedah (OPR) nampaknya kurang berkesan untuk menaikkan semula nilai ringgit,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Asyraf Wadi berkata, antara langkah yang beliau fikir boleh dibuat adalah dengan mengenal pasti semula barangan keperluan import yang terkesan disebabkan kejatuhan nilai ringgit.
Contohnya, kata beliau, produk-produk berasaskan tepung yang mana dengan kaedah ini kerajaan boleh melaksanakan pengurangan kos dalam jangka pendek seperti penghapusan duti import secara sementara.
Bagaimanapun, katanya, langkah tersebut sudah tentu memerlukan tindakan bersepadu daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Pada pada sama, beliau turut melahirkan rasa bimbang apabila rakyat mula melihat usaha-usaha kerajaan selama ini sebagai retorik.
“Sebab kita dilihat seolah-olah hanya menumpukan kawalan kepada harga minyak dan ayam. Sedangkan hakikatnya kelangsungan hidup jauh lebih besar daripada itu.
“Langkah menaikkan semula nilai ringgit juga mesti diperkasakan supaya kesan imported inflation ini dapat dikurangkan,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, jika kerajaan masih percaya ringgit boleh dipulihkan dengan menaikkan OPR, beliau meminta agar satu kaedah pengecualian atau subsidi ke atas industri Perusahaan Kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat M40 ke bawah dipertimbangkan.
“Dalam keadaan hari ini, kita tidak wajar mengurangkan kuasa beli rakyat kerana ia bertentangan dengan polisi pemulihan ekonomi negara.
“Ini kerana ekonomi setiap negara itu terasnya datang daripada keyakinan rakyat mereka. Apabila rakyat hilang percaya, maka ekonomi akan runtuh binasa,” katanya. – Edisi 9