28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

NCIA berjaya tarik pelaburan RM37.21 bilion – PM

Sekaligus bakal mewujudkan lebih 36,717 peluang pekerjaan baharu di negeri Kedah.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan melaksanakan projek strategik berimpak tinggi kini berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM37.21 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu sekaligus mewujudkan lebih 36,717 peluang pekerjaan baharu di negeri Kedah.

Menurut beliau, projek Kedah Rubber City misalnya, akan melonjakkan nilai dagangan dan menjadikan Padang Terap sebagai bandar sempadan utama negara.

Beliau berkata, begitu juga dengan Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana Kuasa Pulau Bunting di Yan, sekali gus membuktikan Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Pusat.

“Sesungguhnya menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelusuk negara, termasuk di Kedah, bagi memastikan tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpingggir daripada nikmat pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Negeri Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sentiasa peka dan prihatin tentang kepentingan jalinan jalan raya yang sempurna bagi memudahkan Keluarga Malaysia khususnya di Kedah untuk menjalankan kegiatan harian dengan selamat dan selesa.

“Justeru, bagi kelancaran aliran trafik dan meminimumkan tempoh perjalanan, kerajaan membelanjakan RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja, selain memperuntukkan RM526 juta untuk menaikkan taraf jalan persekutuan Gerik/Kupang/Lunas,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menggantikan Jambatan Manjalara di Kota Setar yang telah uzur dengan jambatan baharu bagi memastikan lalu lintas lebih sistematik untuk kemudahan Keluarga Malaysia.

Selain itu, kata Perdana Menteri, sebanyak RM1.13 bilion melibatkan 109 projek baharu dan sedia ada telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan.

Advertisements

“Bantuan kepada usahawan luar bandar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 turut diberi keutamaan.

“Melalui Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start, seramai 156 orang peserta telah menerima manfaat, dengan nilai kelulusan sebanyak RM780,000.

“Di samping itu, Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) patuh syariah, turut menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 kepada usahawan luar bandar, melalui agensi pelaksana Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM) dan Small Medium Enterprise Development Bank (SME Bank),” katanya.

Ujar Ismail Sabri lagi, Program Start Right (PSR) @KPLB yang telah diperkenalkan juga memberi peluang kepada belia luar bandar dalam kumpulan B40.

“Dengan bantuan sebanyak RM10,000, penerima boleh memulakan perniagaan berdasarkan bidang kemahiran masing-masing,”katanya.

Melihat kepada isu kualiti hidup dan kesejahteraan keluarga miskin tegar dan miskin, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat.

“Bagi memenuhi inisiatif ini, sebanyak 844 unit rumah kini dibina dan dibaik pulih di negeri Kedah, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.702 juta yang memanfaatkan lebih 4,220 ahli isi rumah luar bandar.

“Kerajaan juga cakna dalam meningkatkan fasiliti perubatan, dan tahap kesihatan Keluarga Malaysia termasuk di negeri Kedah. Di bawah peruntukan RP4, RMK12, Kerajaan telah merancang untuk membina sebuah Pusat Kanser Wilayah Utara (PKWU) yang terletak di Sungai Petani,”katanya.

Ujar beliau, selain itu, bagi meminimumkan kesan bencana banjir di Kedah, Kerajaan komited melaksanakan sebanyak tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam RMK-12 dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion termasuk di Sungai Pendang; Sungai Kedah/Anak Bukit; Baling, Kuala Pegang dan Bandar Jitra Selatan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

SEORANG pemilik sebuah stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan