28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Banjir: Negara siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

Mesti Baca

NEGARA kini diletakkan dalam mod bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat dan berkemungkinan banjir mulai November ini sehingga Mac tahun depan.

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan beberapa langkah bagi menghadapi kemungkinan banjir besar sepertimana berlaku pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini.

Antara langkah tersebut ialah mengaktifkan dengan segera Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah manakala peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana JPBD mempunyai fungsi yang penting untuk melaksanakan kerja-keja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menyelaras di peringkat Pusat serta negeri.

Pada masa yang sama, beliau berkata, seramai 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat peringkat diminta berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.

“Dalam usaha memantapkan kesiapsiagaan Keluarga Malaysia, sebanyak 155 program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan 12,534 perserta yang terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar/Ketua Menteri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta agensi terlibat.

Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fasa peralihan Monsun akan bermula pertengahan September sehingga November.

MET Malaysia menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 bermula pada November 2022 hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.

Bagi aspek pengurusan mangsa pula, Perdana Menteri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas,” katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia pula, jelas Ismail Sabri, diarahkan supaya asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku digunakan oleh orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak-anak kecil dan wanita.

Beliau berkata, JKM juga perlu menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS.

Kata beliau, NADMA juga telah mengagihkan sebanyak 59,350 kit makanan dan 127,272 buah cubicle tent bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana.

“Dalam masa yang sama, JPBN dan JPBD perlu bersedia lebih awal bagi
memastikan bantuan bekalan sampai di semua lokasi yang terlibat bagi
mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.

“Sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana MTL 2022/2023 kepada JPBN untuk kegunaan 160 daerah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukan sebanyak RM4.8 juta bagi menyediakan 320 buah bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah-daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai initial responder ketika berlakunya bencana.

Selain itu, sebanyak 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi dari seluruh negara turut digerakkan untuk menghadapi musim monsun kali ini.

Semua aset-aset ini, katanya, perlu dikoordinasi dengan sebaik mungkin supaya kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan.

JPBN dan JPBD juga perlu memastikan sistem amaran awal bencana terutama di lokasi yang sering dinaiki air berfungsi dengan baik.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan.

“Pengumuman berpindah akan turut dibuat oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa melalui sistem pembesar suara,” kata beliau.

Seluruh Keluaga Malaysia khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan
terdedah dengan risiko banjir diminta supaya sentiasa peka dengan amaran awal bencana dan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.

Semua agensi terlibat khususnya di peringkat negeri dan daerah (lokasi bencana) diarah supaya memastikan kelancaran bantuan kepada Keluarga Malaysia yang terjejas dengan penyelarasan komunikasi yang cekap dan efisien, kata Perdana Menteri. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan