GARIS panduan pemilihan penceramah bagi sebarang program motivasi anjuran sekolah akan diteliti semula bagi memastikan perkara tidak dingini berlaku termasuk kes amang seksual.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, berikutan berlakunya kes amang seksual yang dilaporkan baru-baru ini membabitkan seorang penceramah bebas, pihaknya akan meneliti semula garis panduan dan pekeliling sedia ada.
“Satu penyelarasan dan pemantauan menyeluruh juga perlu dilakukan bagi memastikan kriteria tertentu diguna pakai sebelum menjemput penceramah bebas ke sekolah.
“Kalau kita perincikan semua perkara nanti kata KPM nak kawal semua tapi kalau tiada penyelarasan dan pantauan akan jadi masalah kelak seperti yang dibangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan Sektor Perancangan dan Pembangunan di Sekolah Sultan Alam Shah di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu berkenaan demi keselamatan anak-anak di sekolah.
Buat masa ini, katanya, garis panduan pemilihan penceramah sedia ada masih terpakai sehingga satu garis panduan baharu diwujudkan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang penceramah didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja sekolah berumur di bawah 18 tahun, yang dikenalinya menerusi program motivasi sekolah.
Setakat ini, sebanyak enam laporan polis dibuat terhadap penceramah bebas iaitu empat di sekitar Selangor dan dua lagi di Seremban, Negeri Sembilan.
Penceramah berkenaan kini direman enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.