32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

UPSI, Gading Kencana jalin kerjasama bidang tenaga baharu

Membuka peluang untuk UPSI dan Gading Kencana membina model data raya berkaitan cuaca

Mesti Baca

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat solar ternama, Gading Kencana Sdn Bhd bagi mengembang bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkormersilan tenaga boleh baharu.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, menerusi kerjasama tersebut, UPSI menerusi Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dan Gading Kencana akan juga merencanakan program yang bermanfaat bersama dalam bidang pendidikan dan perundingan.

Menurut beliau, usahasama itu sangat penting bagi mewujudkan perkongsian pintar dalam aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan kepakaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus memberi faedah kepada mahasiswa UPSI melalui pemindahan ilmu, kepakaran dan kemahiran.

“Kita yakin semangat kerjasama dan profesionalisme yang tinggi antara FSM dan Gading Kencana, ia dapat memastikan aspirasi negara tercapai dalam membangunkan masyarakat berilmu tentang solar berikutan sumber tenaganya yang bersih serta membantu memacu negara mencapai matlamatnya menjadi negara maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada majlis itu, Md Amin menandatangani MoU bagi pihak UPSI manakala Gading Kencana pula diwakili Pengarah Urusan, Datuk Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng.

Md Amin berkata, jaringan kerjasama itu juga akan memperkasakan akademia dan industri melalui peluang kolaborasi dalam pelbagai program pendidikan dan penyelidikan yang releven dengan masa kini serta berimpak tinggi.

Beliau berkata, banyak program dirancang antaranya program sangkutan pensyarah dan penempatan latihan industri mahasiswa universiti itu di ladang solar milik Gading Kencana.

Katanya, ini bertujuan meningkatkan perkongsian profesional dari segi ilmu dan pengetahuan, penulisan dan penerbitan artikel serta makalah antara akademia dan industri.

Sementara itu, Guntor yang juga Profesor Adjung di FSM berkata, perjanjian mencakupi lapan bidang itu akan memberi manfaat kepada mahasiswa UPSI sebagai generasi baharu yang perlu meneroka ilmu pengetahuan tenaga baharu.

“Kepakaran UPSI yang bergabung dengan Gading Kencana memberi peluang untuk membina model data raya berkaitan keberangkalian cuaca yang memiliki nilai komersial yang boleh dipasarkan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, UPSI memiliki kepakaran dalam bidang sains yang boleh digabungkan dengan teknologi solar untuk menjana pelbagai pendapatan dan membina masa depan yang lebih baik.

Selain UPSI, Gading Kencana turut berkolaborasi dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

“Kolaborasi bersama UPSI akan dipastikan memberi impak kepada negeri Perak selain membantu membina kekuatan dalaman universiti,” katanya.

Di bawah MoU itu, Gading Kencana akan menghantar panel solar ke makmal solar UPSI yang dinamakan Makmal Guntor Tobeng untuk membolehkan kajian penggunaan sekunder dilakukan untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan.

Sementara itu, Dekan FSM, Prof Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata, peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan ini bukan hanya membabitkan bidang fizik dan teknologi tenaga sahaja, malah boleh diperluaskan dalam bidang matematik, kimia dan biologi.

Katanya, hasil kolaborasi antara FSM dan Gading Kencana sebelum ini menyaksikan sekumpulan penyelidik fakulti itu diketuai Prof Madya Dr. Raja Noor Farah Azura Raja Ma’amor Shah berjaya dianugerahkan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM184,325. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan