29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kerajaan Ismail Sabri perlu berkhidmat hingga hujung penggal

BERSIH menggesa semua parti untuk mewujudkan suatu konvensyen perlembagaan iaitu ‘Parlimen Berpenggal Tetap’.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa semua parti untuk mewujudkan suatu konvensyen perlembagaan iaitu ‘Parlimen Berpenggal Tetap’ dengan meneruskan Parlimen ke-14 sehingga 15 Julai 2023.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataannya, berkata pihaknya menolak desakan pilihan raya awal sebagai alat untuk mencampuri proses kehakiman, justeru kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar berkhidmat hingga hujung penggal.

“BERSIH merasa was-was dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang dibawa ke depan selama tiga minggu pada 7 Oktober, menimbulkan spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan secara tidak bertanggungjawab keesokannya bagi memancing undi dengan tawaran mengiurkan tetapi tiada jaminan dalam belanjawan yang tidak diperbahaskan.

“BERSIH menggesa semua parti untuk mewujudkan suatu konvensyen perlembagaan iaitu ‘Parlimen Berpenggal Tetap’ dengan meneruskan Parlimen ke-14 sehingga 15 Julai 2023,” katanya.

Mengulas lanjut, jawatankuasa itu berkata, dengan ‘Parlimen Berpenggal Tetap’, setiap Parlimen akan bertahan sehingga penghujungnya dan pembubaran hanya dibenarkan dalam dua keadaan.

“Iaitu apabila kerajaan hilang keyakinan di Parlimen dan apabila dua pertiga Parlimen bersetuju untuk pembubaran awal.

“Melalui ‘Parlimen Berpenggal Tetap’, tarikh pilihan raya biasanya adalah tetap. Ini akan menyumbang kepada kestabilan politik dengan tidak menggalakkan percubaan politik dan pengiraan yang singkat.

“Ini juga akan memudahkan orang ramai, terutamanya anggota polis, guru dan penjawat awam yang lain yang terbabit dengan pengurusan pilihan raya, malah wartawan juga, dalam merancang percutian,” katanya lapor BH Online.

Jawatankuasa terbabit turut menggesa Perdana Menteri berdiri teguh dengan janji beliau untuk tidak mencampuri urusan kehakiman dengan menolak desakan PRU-15 diawalkan.

“Mandat beliau adalah daripada Parlimen dan bukannya UMNO. Perdana Menteri perlu segera melaksanakan reformasi utama bagi melindungi Malaysia daripada kleptokrat.

“Paling mustahak adalah pemisahan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghapuskan pendakwaan terpilih dan kekebalan pendakwaan oleh Peguam Negara yang juga lantikan politik, di mana keputusannya mungkin dipengaruhi oleh pertimbangan politik.

“Reformasi lain yang mendesak seperti undang-undang pembiayaan politik yang akan memberikan pendanaan awam kepada parti politik bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kotor.

“Pelantikan jawatankuasa pilihan khas untuk meneliti setiap kementerian (departmental commitee) dan reformasi undi tidak hadir bagi pengundi luar negara dan luar kawasan bagi menaikkan peratusan keluar mengundi,” menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa berkata, semua reformasi ini akan mengambil masa berbulan-bulan untuk dilaksanakan sekiranya semua pihak berkepentingan diberikan masa yang cukup untuk memberi input, maka Parlimen ke-14 ini perlu berlangsung sehingga 15 Julai 2023.

“Kami menyeru Perdana Menteri dan semua parti bekerjasama bagi membawa lebih banyak reformasi institusi yang diperlukan untuk kestabilan politik antara sekarang hingga 15 Julai 2023,” katanya.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan