24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

“Rasuah RM1 sekalipun dosanya tetap sama” – Asyraf Wajdi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar ‘cakap serupa bikin’ dan menerima bahawa tiada siapa boleh mengatasi undang-undang, jika beliau menghadapi nasib yang sama seperti bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelak.

Peringatan kepada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu merujuk kepada kes mahkamah yang dihadapi Ahli Parlimen Muar berkenaan.

“Betul kata YB ‘no one is above the law’ (tiada siapa boleh mengatasi undang-undang).

“Termasuklah YB Syed Saddiq sendiri yang sedang berdepan dengan pertuduhan di mahkamah atas pelbagai kes penyelewengan, pecah amanah dan rasuah berjumlah RM1.12 juta.

“Menantikan jawapan YB di Mahkamah, macam mana boleh terfikir untuk masukkan wang parti yang diselewengkan ke dalam akaun pelaburan ASB sendiri?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, ahli-ahli politik muda tanpa mengira parti sepatutnya yang diharapkan untuk membina kembali negara dengan amalan politik yang bersih dan berintegriti bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan apa jua bentuk penyelewengan.

Advertisements

“Apa-apapun tanpa prejudis, kita tunggulah keputusan mahkamah nanti,” katanya.

Terdahulu Syed Saddiq dalam hantaran di laman media sosialnya kelmarin memberi peringatan kepada semua bahawa tiada siapa boleh mengatasi undang-undang.

Peringatan itu dipercayai susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Asyraf Wajdi berkata, beliau berasa pelik apabila ada yang mempertahankan Syed Saddiq dengan mengatakan kononnya apa sangat RM1 juta berbanding ratusan juta atau billion.

“Rasuah walaupun RM1 sekalipun dosanya tetap sama. Salah tetap salah. Jangan sesekali menormalisasikan penyelewengan dalam apa jua bentuk,” katanya.

Syed Saddiq yang juga bekas ketua Pemuda Bersatu kini sedang dibicarakan atas empat tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang dana RM1.12 juta milik Bersatu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan